NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCM 'sabung nyawa' demi bantu rakyat Syria


Kuala Lumpur: Kedatangan mereka 'disambut' dengan dentuman dan serangan bom tanpa henti dalam jarak kurang satu kilometer.

Itu antara situasi cemas dilalui 10 sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang kini berada di Idlib, Syria dalam usaha menyampaikan bantuan musim sejuk di negara bergolak itu.

Kejadian berlaku ketika mereka memasuki kawasan di utara Syria yang bersempadan dengan Turki bermula 3 Februari lalu.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, letupan bom itu berhenti seketika sebelum berulang kembali pada 11 pagi ketika semua peserta misi berkunjung ke Sekolah Islam Antarabangsa MCM di Ariha.

Menurutnya, lokasi letupan bom dipercayai dalam radius kurang satu kilometer dari sekolah dan gegarannya amat kuat serta mencemaskan peserta misi yang turut membabitkan tiga sukarelawan wanita.

"Sebahagian pelajar sekolah menangis dan menjerit, manakala kami peserta misi hanya berulang kali mengucapkan kalimah Allahuakbar serta berdoa agar dijauhkan daripada musibah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zulkifli berkata, di sebalik situasi cemas itu, pihaknya bersyukur dan gembira kerana dapat memasuki bumi Syria selepas gagal berbuat demikian tahun lalu disebabkan faktor keselamatan dan sekatan akibat penularan wabak Covid-19.

"Ini kunjungan dan misi bantuan kali kesembilan di Syria sejak 2014. Selain dua sekolah di Ariha, MCM juga memiliki dua lagi sekolah di Reyhanli, Turki yang diwujudkan khusus untuk anak-anak pelarian Syria yang berlindung di situ," katanya.

Beliau berkata, peserta misi juga berkesempatan menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang empat sekolah berkenaan, yang menghargai 25 pelajar kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di Turki dalam bidang perubatan, pengurusan, teknologi maklumat dan agama.

Menurutnya, sekolah MCM itu ditubuhkan sejak 2014 dan sehingga kini memiliki seramai 700 pelajar yang dibimbing oleh 42 guru keseluruhannya.

"Secara purata MCM membelanjakan RM70,000 sebulan untuk menampung kos operasi empat sekolah terbabit. Sebab itulah kami memerlukan sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank MCM (564490413882) dan hantarkan slip sumbangan ke talian hotline MCM 011-50050035.

Sementara itu, Zulkifli berkata, bagi misi bantuan kali ini yang akan berakhir 14 Februari depan, sejumlah RM500,000 diperuntukkan untuk bekalan makanan, pakaian musim sejuk, selimut dan bahan api untuk penduduk Syria di sekitar Idlib serta beberapa kem pelarian di Reyhanli.

Menurutnya, sudah 11 tahun rakyat Syria hidup dalam kesusahan disebabkan konflik dan peperangan yang berterusan.

"Keadaan amat menyedihkan. Mereka kekurangan serba-serbi, termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal.

"Keadaan di bandar Jabal Zawiyah dan Jabal Arbain di IdIlib boleh dikatakan 100 musnah dan menjadi seperti 'bandar hantu'.

"Dalam perjalanan, setiap kali kenderaan kami berhenti di kawasan penempatan, ada saja ibu menggendong bayi datang meminta wang untuk membeli susu anak," katanya.

Sumber | Harian Metro




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo