NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan terburu-buru, lantik pengendali Harimau Malaya tahun depan sahaja - Serbegeth


KUALA LUMPUR: Ketika beberapa nama dicanang untuk dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya dalam masa terdekat, lain pula pandangan Serbegeth Singh.

Bekas pemain kebangsaan itu berpendapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh tangguh dahulu atau tidak perlu terburu-buru dalam pengambilan jurulatih baharu dari luar sistem semasa bola sepak kebangsaan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Shebby menegaskan semua pihak perlu menganggap 2022 adalah tempoh bertenang dan tahun depan mungkin masa yang sesuai untuk FAM melantik pengendali baharu.

"Buat masa sekarang ini kita memang tak ada pasukan, selepas Piala AFF 2020 siapa yang boleh digelar pemain kebangsaan akibat kegagalan begitu teruk?

"Kegagalan itu bukan kata merosot, boleh dikatakan hancur. Biar 2022 ini tenangkan dulu situasi. Untuk Piala Asia (2023), kalau layak baguslah, kalau tak layak jangan huru-hara sebab keadaan bola sepak kita sekarang ini sudah huru-hara.

"Jadi, untuk menenangkan segalanya, kita jangan terlampau melenting nak ambil (jurulatih) ini nak ambil itu. Tahun 2022 ini untuk FAM ambil masa memikirkan siapa calon terbaik pada 2023. Jangan kelam kabut, tiada apa yang akan berubah," kata kepada BH Sukan.

Dalam perkembangan sama, Shebby menganggap FAM wajar memberi peranan untuk mengemudi Harimau Malaya kepada pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Brad Maloney bagi menghadapi situasi terdesak ketika ini.

Beliau berkata, pelantikan Maloney sebagai jurulatih 'sementara' skuad kebangsaan mampu mengelak Harimau Malaya kembali bermula dari kosong terutama apabila terpaksa mengharungi kempen kelayakan Piala Asia, Jun ini.

Katanya, langkah itu lebih baik berbanding melantik jurulatih baharu yang tidak berada dalam sistem bola sepak kebangsaan ketika ini, tidak kira sama ada jurulatih tempatan atau luar negara.

"Kalau ambil (jurulatih) dari luar sistem nanti pasukan akan balik kepada asal dan kita tak banyak masa untuk buat persiapan bagi kelayakan Piala Asia.

"Jangan buat keputusan terburu-buru, apa yang kita ada pakai dulu. Dia (Maloney) pun bawa skuad B-22, jadi kita kena fikir jangka masa panjang. Pemain B-22 ini nanti akan menjadi pasukan senior dan kesinambungan itu amat penting.

"Jelas pasukan Vietnam berjaya kerana sistem itu dengan membawa pemain B-23 hingga ke peringkat senior dan pasukan Thailand semasa Kiatisuk Senamuang bawa, pasukan B-23 mereka dibimbing hingga jadi pasukan kebangsaan.

"Jika pasukan B-22 yang sedia ada dicampur dengan pemain senior yang masih berkeupayaan seperti Safawi dan Luqman, saya rasa itulah cara terbaik. Biar pasukan B-22 jadi tulang belakang, sebab nak bentuk semula pasukan bukan senang," katanya.

Ketika ini, nama seperti Bojan Hodak, Kiatisuk, Irfan Bakti Abu Salim dan Zainal Abidin Hassan antara jurulatih yang dicanang mampu mengemudi Harimau Malaya.

Namun, difahamkan bahawa FAM sedang mengintai beberapa jurulatih dari Sepanyol, England, Korea Selatan dan Jepun bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan, Isnin lalu.

--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo