NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Diperdaya Macau Scam, Seorang Guru wanita rugi RM118,000


SIBU: Seorang guru wanita diperdaya membuat pinjaman bank dan menggadaikan barang kemas selepas ditipu sindiket 'Macau Scam' yang menyebabkannya kerugian RM118,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat, berkata mangsa berusia 58 tahun dihubungi suspek pada 28 Oktober tahun lalu, yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil syarikat insurans.

Katanya, suspek kemudian mendakwa mangsa pernah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dan terbabit kegiatan penggubahan wang haram berjumlah RM1.8 juta.

"Bagi meyakinkan mangsa, sindiket menyambungkan talian kepada lelaki yang dikatakan anggota polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyebabkan dia panik.

"Mangsa kemudian dihubungi seseorang yang mendakwa dirinya adalah peguam dan 'menasihatkannya' membuka akaun bank baharu serta memberi gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek pada 7 November.

"Disebabkan bimbang, mangsa mengikut kesemua arahan diberi suspek termasuk membuat pinjaman bank berjumlah RM75,000 yang diluluskan pada 23 November dan memindahkan kesemua wang itu ke akaun terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Collin berkata, mangsa turut membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM27,000 yang dipinjamnya dari sebuah bank lain pada 9 Disember.

Katanya, mangsa turut diarah menggadaikan barang kemas miliknya dan memindahkan RM16,000 ke akaun bank berkenaan pada 13 Disember lalu.

"Mangsa turut diarah tidak memaklumkan perbuatannya kepada sesiapa dan membuang semua dokumen transaksi, namun dia menceritakan kejadian itu kepada suaminya pada Rabu lalu.

"Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa kini terpaksa menanggung beban membayar balik pinjaman peribadi yang dibuatnya.

--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo