Sarawak teliti mohon wakil dalam LHDN, gunakan hak menerusi MA63



KUCHING: Sarawak akan terus menggunakan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau di bawah perenggan ke-34 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Sarawak dan Sabah mesti diwakili dalam dalam LHDN dan ia adalah mandatori namun sehingga kini Sarawak tidak pernah diwakili dalam LHDN.

“Jika kita ada wakil sekurangnya kita tahu mengenai berapa pendapatan seluruh negara dan apabila kita tahu mengenainya baharu kita boleh memohon jumlah berpatutan sebagai geran untuk negeri.

“Kalau kita tahu sumbangan Sarawak kepada pendapatan negara, kita mungkin boleh mendapatkan balik 20 peratus kepada negeri. Perkara ini yang kita mahu dapatkan berlandaskan perjanjian.

“Sarawak sebagai rakan wilayah, kita akan melihat perkara ini dengan mendalam dan saya akan membawa kepada rakan-rakan kita,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Sambutan Ketua Menteri hadir ke pejabat buat pertama kali selepas menangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) dan dilantik sebagai Ketua Menteri di lobi Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Menurut Abang Johari, Sarawak akan terus memperjuangkan haknya menerusi MA63 namun ia tidak bermakna negeri ini akan keluar atau berpisah daripada persekutuan.

Jelasnya apa yang penting adalah memenuhi apa yang telah tertulis atau terkandung di bawah MA63.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN12 yang baharu selesai, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana memberi mandat kepada gabungan untuk meneruskan pentabdiran.

“Memang kami dalam pasukan GPS, tidak menjangkakan bahawa kami akan mendapat kejayaan memenangi 76 kerusi daripada 82 kerusi dimana kami hanya menjangkakan menang kira-kira 68 kerusi atau maksimum 72 kerusi.

“Namun rakyat nampaknya faham dengan hala tuju dasar yang telah saya ketengahkan khususnya untuk kita mencapai negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata selain itu rakyat juga faham bahawa negeri ini mesti mempunyai kestabilan politik untuk meneruskan usaha pembangunan kepada mereka.

“Malahan rakyat juga faham bahawa kerangkuman dasar yang melibatkan semua kaum dan agama hendaklah dititikberatkan selain rakyat juga faham bahawa Sarawak mempunyai kedudukan tersendiri berlandaskan MA63, yang telah diluluskan di Parlimen,” ujarnya.

Abang Johari berkata, ia adalah asas yang memberi kemenangan kepada GPS dan paling penting integriti dalam menyampaikan janji kepada rakyat.

https://www.utusanborneo.com.my/2021/12/21/sarawak-teliti-mohon-wakil-dalam-lhdn-gunakan-hak-menerusi-ma63




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo