NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sarawak: Elak peluk atau salam, meski gembira lepas dapat keputusan - Pakar Kesihatan

Jamilah berharap semua pihak baik dari parti politik, calon, penyokong calon dan penyokong parti supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan. - Bernama


KUALA LUMPUR: Pakai pelitup muka dengan betul, pastikan penjarakan fizikal sentiasa dijaga, jangan berpeluk, jangan bersalaman walaupun tahap kegembiraan sedang memuncak malam nanti.
Itu nasihat Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Jamilah Hashim kepada semua calon dan penyokong parti politik menjelang pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka selesai malam ini.
Menurutnya, dalam pilihan raya sebelum ini, meraikan kemenangan dengan cara sebegitu banyak kali dilakukan namun dalam keadaan pandemik, pematuhan terhadap SOP perlu dititikberatkan.
“Telah ditetapkan, setiap calon hanya dibenarkan membawa bilangan penyokong yang terhad. Harapan kita, ikutlah SOP ditetapkan. Jangan bawa lebih daripada yang dibenarkan.
“Penyokong juga, kita harap dalam kegembiraan itu, jangan berlebih-lebih. Tak kira polis atau Rela yang melarang untuk masuk, jangan lawan.
“Ada sebab mereka menetapkan sebegitu kerana jangan terlalu ramai kumpul dalam dewan itu, jaga penjarakan fizikal,” katanya dalam Buletin AWANI Khas pada Sabtu.
PRN Sarawak | Sekilas fakta kerusi tumpuan PRN Sarawak ke-12
Menurutnya, dalam pilihan raya sebelum ini, keputusan akan diumumkan dalam sebuah dewan dan dalam PRN Sarawak, perkara sama juga dijangka berlaku.
Justeru, beliau berharap semua pihak baik dari parti politik, calon, penyokong calon dan penyokong parti supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.
Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula pada 7.30 pagi tadi dengan pembukaan 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran bagi rakyat di Bumi Kenyalang memilih kerajaan negeri yang baharu.
PRN Sarawak | Perkongsian Data bagi PRN Sarawak ke 12
Proses itu membabitkan 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar bagi PRN itu yang akan diuruskan oleh seramai 46,565 pegawai pilihan raya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengundian berakhir pada 5 petang.
Bergantung kepada jumlah pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya, ada yang ditutup seawal 12 tengah hari seperti pusat mengundi di Tadika Kemas Kampung Soh yang berada di bawah DUN Muara Tuang, yang hanya mempunyai 97 pengundi.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo