NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anggota SUHAKAM patut patuh kepada akta mereka sendiri - Exco PPM



KUALA LUMPUR, 20 Disember 2021 – “Adalah sangat jelas Seksyen 4(4) memperuntukkan bahawa SUHAKAM sepatutnya bertindak berdasarkan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” demikian kenyataan daripada Hafez Zalkapli kepada wartawan Samudera.my.

Beliau yang merupakan Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan agar anggota Suruhanjaya SUHAKAM tidak melanggar peruntukan dalam Akta mereka sendiri iaitu Akta SUHAKAM (Akta 597).

Menurut Hafez, Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memang disyorkan untuk menurut standard antarabangsa bersumber Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948).

“Tetapi kita ada agama Islam, adat yang tidak selari dengan standard Barat, sebab itu kita tak terima semua, ada “reservation” macam juga negara lain.”

Jelasnya, bab hak asasi adalah lebih kepada soal kuasa dan politik, bukan macam undang-undang dalam negara.

“Kita sebenarnya perlu memahami ketika Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 dibuat, ianya dibuat oleh segelintir negara yang telah menang dalam perang, dan ianya sebenarnya mewakili dan mencerminkan hak asasi menurut acuan mereka, yang sudah semestinya berbeza di seluruh dunia dengan pelbagai budaya, etnik, agama dan negara.”

Kemudian, dunia, termasuk orang-orang Islam dipaksa menerima perisytiharan ini walaupun pandangan mereka tidak diambil kira ketika ianya dibuat.

Menyentuh berkenaan laporan SUHAKAM yang menyatakan undang-undang murtad Syariah sebagai satu bentuk diskriminasi, beliau menyatakan, ia merupakan satu lagi contoh perlanggaran Seksyen 4 (4) Akta SUHAKAM.

Isu ini turut didedahkan oleh Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar baru-baru ini.

Hafez menegaskan, SUHAKAM tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan atau laporan yang menidakkan undang-undang tempatan.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri-negeri berhak untuk membuat undang-undang berkaitan Islam, termasuklah undang-undang berkaitan murtad.

“Ini adalah undang-undang yang sudah termaktub di negara ini sejak zaman berzaman, sebelum negeri-negeri ini membentuk Malaysia lagi,” ujarnya.

Pada masa kini, ianya telah dikodifikasi dalam bentuk Enakmen negeri-negeri dan ianya adalah undang-undang yang berkuatkuasa secara sah, dan tidak boleh dinafikan dan tidak patut dipertikaikan. -SAMUDERA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo