NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cyberjaya, Putrajaya, KL kawasan terawal diliputi 5G

17 NOV: Penduduk di Cyberjaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur bakal menjadi tiga kawasan pertama di Malaysia yang menikmati kemudahan liputan jalur lebar berfrekuensi tinggi atau 5G, mulai bulan depan.

Berikutan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerja-kerja pembangunan rangkaian spektrum 5G berkenaan sudah dilaksanakan oleh syarikat tujuan khas (SPV) ditubuhkan kerajaan dikenali sebagai Digital Nasional Berhad (DNB) dimulakan seawal September.

“Ketersediaan rangkaian 5G akan dicapai bermula secara berperingkat bermula di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur mulai akhir tahun ini.

“Kemudahan liputan rangkaian 5G berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara mulai tahun 2022,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata kerajaan akan melipatgandakan untuk memperluaskan liputan rangkaian 5G untuk mencapai sekurang-kurang 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia dalam tempoh 3 tahun akan datang iaitu pada 2024.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata jika dibandingkan dengan pembangunan spekrum 3G dan 4G dahulu, syarikat telco mengambil masa hampir 8 tahun untuk mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia berbanding kali ini kerajaan bertekad untuk ambil masa hanya 3 tahun.

Terdahulu, Annuar menjelaskan kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik menubuhkan DNB kerana pendekatan diambil oleh syarikat telco sejak program 2G, 3G dan 4G dibuat berdasarkan pelaburan untuk pembangunan infrastruktur rangkai dan sumber spektrum secara individu atau syarikat secara berasingan.

“Hasilnya wujud beberapa rangkaian yang memberikan perkhidmatan serupa di kawasan sama atau duplikasi namun dapat memanfaatkan kemudahan antara satu sama lain untuk menangani isu kelompongan liputan mahu pun kualiti pekhidmatan.

“Isu berkenaan memerlukan perbelanjaan besar seperti mana dilaksanakan menerusi pelan jendera dan sekiranya pendekatan serupa dalam pelaksanaan 5G, besar kemungkian perkara sama akan berulang.

“Justeru, kerajaan berpandangan kerajaan perlu mewujudkan SPV dengan nama DNA untuk menyediakan kemudahan dan prasarana serta tidak perlu syarikat telco untuk bersaing dalam penyediaan infrastruktur sebaliknya menumpukan kepada spektrum yang akan diberikan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar mengesahkan bahawa modul yang bakal digunakan kerajaan dalam melaksanakan rangkaian 5G akan diperincikan Kementerian Kewangan di Parlimen, esok.

Pada masa sama, Annuar mengakui ketika ini sememangnya timbul perdebatan dalam memilih untuk menggunakan rangkaian yang lebih baik iaitu sama ada konsep multi system iaitu rangkaian 5G dikendali pelbagai syarikat telekomunikasi atau single wholesale network system yang hanya melibatkan syarikat tunggal.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa konsep penyedia tunggal yang dirancang digunakan mempunyai sejarah kegagalan di beberapa negara lain seperti Mexico.

“Kajian dah dibuat tentang punca-punca kegagalan dan setakat maklumat kita peroleh, asas dan latar belakang masalah adalah sangat berbeza sekali dan model single wholesale network adalah tidak sama dengan apa dirancang untuk digunakan melalui DNB.

“Walaupun demikian Menteri Kewangan akan buat penghuraian lebih terperinci berhubung DNB, kerana DNB adalah sebuah syarikat bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, sementara kementerian mengawal selia sudut pembahagian spektrum serta pelaksanaan perkhidmatan kemudian nanti,” katanya.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo