Responsive Ad Slot

"Banduan boleh ke Singapura, jadi pengurus pilihan raya UMNO" - Tun M sindir Najib


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan situasi yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak seolah-olah bebas ke sana ke mari, biarpun didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram.

Dalam catatan terbaharu di blognya, Dr Mahathir berkata, sepanjang kes rayuan Najib berlangsung bermula April tahun ini, Ahli Parlimen Pekan itu bebas seperti orang tidak bersalah, dan kes juga tidak didengari kerana pelbagai alasan.

Malah, kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, Najib boleh hadir ke Dewan Rakyat, tetapi tidak ke Mahkamah kerana menggunakan alasan sakit.

“Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib. Tetapi keputusan ditangguh. Sudah enam bulan berlalu. Mahkamah belum buat keputusan. Sekarang banduan ini dibenar ke Singapura. Peguam Negara tidak bantah.

“Najib ubah tarikh (pergi ke Singapura) kerana dipilih oleh UMNO sebagai pengurus dalam pilihan raya Melaka. Ini juga dilulus,” kata Dr Mahathir lagi.

Selain itu beliau berkata, sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman ke atas Najib, sudah pasti rayuan akan diteruskan ke Mahkamah Persekutuan, dan berkemungkinan akan mengambil masa sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15.

Dr Mahathir berkata, apabila tiba PRU itu, dan Mahkamah Persekutuan masih belum membuat keputusan tentang Najib, sudah pasti beliau dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

“Rakyat tentu berbangga. Curi RM10 masuk penjara serta merta. Curi RM1 billion boleh lepas dari penjara.

“Ramailah penyangak dan perasuah sekarang bebas menjelajah seluruh dunia sementara hukuman ditangguh atau pertuduhan dibatal,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, dunia akan ‘kagum’ melihat Malaysia, contoh negara demokrasi di mana yang menang akan kalah, dan yang kalah akan menang, yang curi sedikit dipenjara, manakala yang curi bertimbun-timbun, dibebaskan.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banduan-boleh-ke-singapura-jadi-pengurus-pilihan-raya-umno-tun-m-sindir-najib-327537



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo