Responsive Ad Slot

#SayaDigital sedia kemahiran tingkat pendapatan perniagaan


Kuala Lumpur: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melaksanakan pelbagai kempen dan inisiatif bertujuan membantu rakyat Malaysia mengenal pasti gangguan dan menangani cabaran dengan pendekatan digital.

Ia juga menjadi bukti bagaimana kerjasama antara awam-swasta boleh mencapai impak secara inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, untuk berjaya dalam dunia digital yang terkini dan pantas, ia memerlukan strategi baharu.

"Kami melancarkan kempen #SayaDigital yang bertujuan menyediakan kemahiran digital dan meningkatkan pendapatan kepada rakyat dan perniagaan.

"Ini termasuk Mydigitalworkforce Work in Tech (MYWiT) iaitu inisiatif meningkatkan kemahiran dan subsidi bakat serta perniagaan bernilai RM100 juta dalam bentuk latihan kemahiran digital dan insentif gaji.

"Menerusi inisiatif ini, lebih 300 syarikat dalam sektor teknologi dijangka menerima manfaat, selain bakal mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia.

Menurutnya, MDEC turut memperkenalkan kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online (SMO) untuk membantu perniagaan Malaysia dalam pelbagai sektor menyertai platform e-dagang dan e-pembayaran bagi meningkatkan keupayaan mereka, yang juga sebahagian daripada Belanjawan 2021.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan Malaysia menyuntik RM200 juta dalam bentuk subsidi, insentif, diskaun dan rebat untuk memberi manfaat kepada 300,000 perniagaan tempatan dan menghasilkan 10 juta jumlah transaksi bagi membantu pemulihan ekonomi.

"Menerusi kempen Nadi Digital Asean, kami menyasar meningkatkan bilangan juara syarikat pemula dan menyediakan persekitaran terbaik kepada pelabur.

"Dengan ini, kami bersedia menjunjung kedaulatan digital untuk negara dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital Asean sebenar," katanya.

Menurutnya, inisiatif ini juga membantu mewujudkan ekosistem digital yang sihat dan mampan namun ia bukan sesuatu yang boleh dicapai MDEC secara bersendirian.

"Ia usaha kolaboratif, dipikul semua pemegang taruh dan bersatu mencapai matlamat dalam kemakmuran bersama dan pemulihan ekonomi.

"Berbekalkan semangat Hari Malaysia, mari kita berusaha ke arah penyatuan digital, untuk masa depan yang membolehkan kesamarataan dan kemakmuran untuk semua," katanya.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo