Responsive Ad Slot

Peraturan maritim baharu China cetus ketegangan




4 SEPT: Peraturan maritim baharu yang diperkenalkan China 1 September lalu yang bertujuan mengawal kemasukan kapal asing ke ‘wilayah perairan China menimbulkan ketegangan antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS) serta negara jiran lain di wilayah itu.

Pengenalan peraturan itu akan memberikan kesan sangat besar terhadap pelayaran kapal komersial dan ketenteraan di Laut China Selatan, Laut China Timur dan wilayah Taiwan yang menjadi pertikaian.

Kapal asing sama ada kapal tentera dan komersial perlu memohon kebenaran merentasi ‘wilayah perairan China’ kepada kerajaan negara itu mengikut peruntukan peraturan yang ditetapkan.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Jepun (JIIA), Dr. Monika Chansoria yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan kontemporari Asia dan strategi Indo-Pasifik menjelaskan langkah terkini itu susulan beberapa siri keputusan mengenai Laut China Selatan dan Laut China Timur sejak 2020.

“Semua pengumuman ini sangat membimbangkan kerana meningkatkan risiko kemungkinan salah perhitungan yang mengancam kestabilan serta keselamatan di ketiga-tiga perairan itu,” jelasnya.

Global Times yang memetik sumber Pentadbiran Keselamatan Maritim China berkata, semua jenis kapal yang akan melalui perairan negara ini perlu menghantar laporan terperinci.

Ini termasuk pengendali kapal selam, kapal nuklear, kapal yang membawa bahan radioaktif dan minyak pukal, bahan kimia, gas cecair serta bahan toksik berbahaya.

Laporan itu juga menetapkan ‘kapal yang memberi ancaman kepada keselamatan trafik maritim China’ perlu menghantar laporan mengenai nama, jawatan, kedudukan, nama barang berbahaya yang dibawa melalui kapal dan muatan kargo, destinasi pelabuhan seterusnya serta jangkaan masa ketibaan.

Laut China Selatan yang merangkumi China, Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Vietnam adalah kepentingan ekonomi yang besar di peringkat global.

Hampir satu pertiga perkapalan dunia melintasi perairan yang turut menempatkan banyak perikanan penting di laut dalam.

Lima tahun lalu, mahkamah antarabangsa memutuskan tuntutan Beijing meliputi keseluruhan Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo