NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tetap adakan muktamar November ini


25 SEPT: PAS tetap akan mengadakan muktamarnya di Terengganu pada November tahun ini kerana ia tidak boleh ditangguhkan lagi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata muktamar itu terpaksa diadakan selewat-lewatnya sebelum 31 Disember 2021 susulan arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) baru-baru ini.

“PAS pada asalnya memohon kepada RoS untuk menangguhkan Mesyuarat Agung dan pemilihan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun kita hanya diberikan kebenaran oleh RoS sehingga 31 Disember 2021 sahaja.

“Maknanya pemilihan dan muktamar perlu diadakan sebelum 31 Disember. Maka kita akur arahan sekarang kita adakan mesyuarat cawangan dan awal November kita akan adakan muktamar secara hibrid dan fizikal,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pelajar cemerlang Maahad Muhammadi perempuan di sini hari ini.

Muktamar kali ini dijangka diadakan di Terengganu secara hibrid dengan sesi sama ada melibatkan kehadiran perwakilan atau secara maya.

Sekiranya membabitkan kehadiran, jumlah kehadiran dihadkan sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) menangani COVID-19.

Takiyuddin turut berkata muktamar kali ini membabitkan pemilihan kesemua jawatan tertinggi parti dan kaedah pemilihan akan dibincangkan sama ada secara maya atau hibrid.

Pada tahun lalu, Muktamar PAS diadakan di Kota Bharu, Kelantan dalam situasi norma baharu dan pematuhan SOP yang ditetapkan.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo