Responsive Ad Slot

Kerajaan perkenal pakej peranti, data lebih mesra rakyat




Kementerian Komunikasi memperkenalkan pakej data dan peranti yang lebih mesra rakyat termasuk memperkenalkan Pakej peranti keluarga Malaysia yang dikenakan bayaran serendah RM40 sebulan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata,

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah menerima maklum balas daripada orang ramai berhubung perkhidmatan telekomunikasi.

Kata beliau, ramai inginkan kesalinghubungan lebih baik, harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti lebih-lebih lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan Internet untuk pelbagai urusan seperti aktiviti pembelajaran, e-dagang dan juga hiburan.

“Kerajaan tanggungjawab memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses pada kos yang berpatutan untuk memanfaatkan Internet. Baru-baru ini, saya telah bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk berbincang mengenai cara-cara membantu rakyat dalam jangka masa pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sukacitanya saya mengumumkan pakej baharu untuk membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet dan bagi semua terutamanya golongan yang kurang berkemampuan, peranti pintar yang mampu milik,” jelas beliau.

Di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ianya adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10/sebulan (Dibayar untuk 3 bulan/RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga (3) bulan. Selain itu, turut diberikan data 1GB (Jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.

Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet. Manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.

Bagi data 20GB pula, ianya boleh digunakan untuk aktiviti seperti penurunan video ataupun permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan.

Pakej ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar, yang kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan. Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar. Kerajaan berharap agar golongan ini dapat memanfaatkan kemudahan dan melancarkan pembelajaran serta urusan seharian mereka.

Dalam pada itu, Kerajaan juga sedar bahawa setiap keluarga memerlukan alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, turut disediakan adalah pakej baharu untuk mampu milik peranti iaitu Pakej Peranti Keluarga Malaysia. Pakej Peranti Keluarga Malaysia akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma. Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.

Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua (2) pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama. Adalah diharapkan agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE ini, untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka. Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021- 15 April 2022 selama enam (6) bulan.
Kerajaan yakin dengan kedua-dua pakej ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja akan menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan juga harga yang mampu milik dan tahap penyampaian yang lebih berkualiti.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo