NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hari Malaysia - Runtuhkan permainan perkauman



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

PADA kesempatan ini, kita mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan negara yang ke-64 dan ke-58 tahun penubuhan Malaysia.

Kedua-dua tarikh ini (tanggal 31 Ogos sebagai kemerdekaan negara dan 16 September, hari penubuhan Malaysia) adalah hari keramat bagi negara ini yang ada bahagiannya seperti Melaka dijajah sejak berabad-abad lalu.

Berceloteh mengenai negara ini, tidak lengkap jika tidak membicarakan komposisi kaumnya yang pelbagai itu - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan sebagainya.

Hal ini termasuklah politik yang kaum masing-masing pada asalnya diwakili oleh pertubuhan politik perkauman; seperti United Malays National Organization (Umno), Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC).

Sekalipun ketiga-tiga parti ini bergabung membentuk dahulunya Perikatan, kini Barisan Nasional (BN), perjuangan parti masing-masing adalah berdasarkan perkauman (desakan dan kehendak kaum masing-masing); hanya sedikit hal berhubung matlamat sama seperti mencapai kemenangan dalam sesuatu pilihan raya.

Sekalipun sedar akan keperluan sesuatu kaum memperjuangkan masa depan kaumnya, jika kita rujuk kepada Sirah Rasulullah s.a.w. yang sewajarnya menjadi panduan setiap Muslim, baginda Rasul tidak pernah melaungkan semangat perkauman seperti "hidup Arab" atau "hidup Quraisy" tetapi membebaskan manusia daripada kejahilan dan kesesatan kepada hanya tunduk kepada Yang Maha Kuasa.

Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan kemudian kembali ke Makkah adalah bagi membebaskan bangsa Arab dan seluruh manusia daripada penjajahan dan penindasan sesama manusia dan bukan mengangkat martabat sesuatu bangsa seperti Arab ke puncak kuasa atau menguasai bidang kehidupan seperti ekonomi dan perluasan wilayah.

Hakikat Islam sebagai satu-satunya ajaran yang dapat membebaskan seluruh umat manusia dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud; "tidaklah Aku utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk rahmat kepada sekalian alam." Di atas dasar inilah umat Islam menyebarkan risalah Allah ke seluruh pelosok alam.

Perihal kemerdekaan terutama tugas memerdekakan akidah manusia kepada mentauhidkan Allah SWT dinyatakan dengan jelas oleh Ruba’i bin ‘Umair, panglima tentera Islam ketika berhadapan dengan panglima Rustum dari Parsi; "kami datang untuk membebaskan umat manusia daripada penyembahan selain daripada Allah, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan daripada kezaliman kepada keadilan. Barangsiapa yang menerimanya, kami akan kembali (tidak akan berperang dengannya) tetapi bagi siapa yang enggan maka kami memerangi mereka sehingga Allah menunaikan janjinya."

Bagi kita, politik berasaskan perkauman kian menjauh dan tersasar daripada realiti perkembangan semasa. Apatah lagi dalam situasi sekarang, dengan perkembangan terlalu pantas di bidang teknologi maklumat, hampir semua perkara terdedah kepada pengetahuan umum dan dibahaskan semua peringkat rakyat saban masa.

Sehubungan itu sebarang lontaran isu perkauman termasuk untuk mendapat sokongan undian kaum tertentu ketika pilihan raya akan hanya memakan diri dan lebih malang lagi mengundang negara dan manusia sejagat ke jurang kehancuran. *

Di sini, kita melihat betapa murninya ajaran Islam dengan Allah SWT mengutus Nabi Muhammad s.a.w. untuk membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia.

Baginda tidak diutuskan untuk kebahagiaan satu-satu kaum sahaja seperti orang Arab atau Quraisy tetapi membawa mesej kesejahteraan untuk semua - orang Islam, bukan Islam malah makhluk lain seperti jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Lihatlah betapa indahnya peraturan dalam Islam seperti adab-abab peperangan dan penyembelihan bagi membuktikan bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah rahmat bagi sekalian alam.

Kewujudan negara-negara dengan sempadan sekarang ini adalah bikinan Barat untuk menunjukkan kekuatan dan melempiaskan kebongkakan mereka ke atas bangsa lain (bangsa jajahan).

Apabila wujudnya situasi ini, maka bebaslah mereka mempromosi kekuasaan bangsa mereka ke atas bangsa lain; bagi mereka kaum di negara taklukan seperti Iraq dan Afghanistan tidak bernilai sesen pun sebab itu pembunuhan puluhan ribu orang di rantau ini tidak ada apa-apa kepada mereka sedangkan jika sejumlah kecil bangsa atau warga mereka terbunuh, mereka memburu pihak disyaki hingga ke lubang cacing dan melabel mereka sebagai pengganas.

Demikianlah tembelang dan temberang pejuang perkauman sama ada di dalam negara atau di luar negara kian terdedah, maka kepada Muslim dan Muslimat dinasihatkan agar kembali kepada ajaran Islam bawaan Rasulullah s.a.w. kerana hanya itu penyelamat sebenar kehidupan di dunia dan akhirat.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo