Responsive Ad Slot

Batal kelulusan laporan, peristiwa bersejarah buat EIA

PAS Pulau Pinang serah memorandum Batal PSR dari kepada KASA.
Boleh jadi ramai yang tidak menyedari bahawa keputusan Lembaga Rayuan EIA yang dipengerusikan oleh Hakim Puan Rozina Ayob, membatalkan kelulusan Laporan EIA bagi projek Penambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), adalah satu peristiwa yang cukup bersejarah bagi perundangan alam sekitar di negara ini. Sebelum daripada ini tidak pernah Laporan EIA yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dibatalkan kelulusannya oleh Lembaga Rayuan.

Kelulusan Laporan EIA untuk projek PSR adalah antara kes yang paling menarik berkaitan dengan perundangan alam sekitar di Malaysia selain daripada Laporan EIA projek Empangan Bakun Sarawak pada awal 1990-an. Projek PSR ini mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk NGO-NGO alam sekitar dan persatuan nelayan yang mendakwa projek tersebut akan merosakkan ekosistem marin semulajadi dan menjejaskan kegiatan nelayan.

Saya sendiri telah turun padang bertemu dengan NGO-NGO alam sekitar dan persatuan nelayan di lokaliti berhampiran PSR untuk mendengar rayuan mereka dan berdialog pada bulan Julai tahun lalu. Puan Meena Raman, Penasihat Guaman Utama pihak perayu dan Haji Zakaria Ismail, perayu kepada kes ini, hadir memberikan pandangan mereka. Selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, saya memahami kehendak mereka yang membantah pelaksanaan projek tersebut.

Bagaimanapun, sebagai mewakili Menteri Alam Sekitar dan Air, saya menyebut Menteri tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan kelulusan Laporan EIA yang sudahpun diluluskan oleh Ketua Pengarah JAS semasa zaman Kerajaan PH sebelum ini. Oleh yang demikian, adalah terlebih baik menyerahkan perkara ini kepada Lembaga Rayuan EIA untuk mempertimbangkan rayuan Haji Zakaria yang mewakili persatuan nelayan sama ada meneruskan atau membatalkan kelulusan laporan EIA tersebut.

Setelah pendengaran rayuan ini tertangguh beberapa kali disebabkan oleh Pandemik Covid-19, akhirnya pada 6 hingga 8 September baru-baru ini, pendengaran rayuan ini telah berlangsung. Keputusannya seperti yang sudah dimaklumi umum, Laporan EIA projek PSR yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah JAS pada 25 Jun 2019 telah dibatalkan oleh Lembaga Rayuan. Pembatalan ini menyebabkan projek PSR yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh diteruskan.

Satu pengajaran yang paling penting dari keputusan Lembaga Rayuan ini, pihak kerajaan, pemaju dan perunding EIA tidak boleh memandang remeh kuasa dan pandangan rakyat. Mungkin ada sesetengah pihak memandang enteng kepada proses EIA ini, sehingga ada yang beranggapan sekadar memenuhi prosedur untuk melaksanakan sesuatu pembangunan. Dengan keputusan ini, diharapkan semua pihak sedar rakyat mempunyai kuasa untuk memastikan alam sekitar mereka terus terpelihara.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo