NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

28 individu tidak dibenar hadir sidang Parlimen hari ini




13 SEPT : 28 individu termasuk seorang Senator dan dua Ahli Parlimen tidak dibenarkan hadir dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat yang bermula hari ini kerana positif jangkitan COVID-19.

Kesemua mereka telah disahkan positif dalam ujian saringan awal sebelum bermulanya sidang Parlimen yang dijalankan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) pada 10 dan 11 September lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seramai 1,801 individu telah disaring di mana 26 individu didapati positif jangkitan tersebut yang turut melibatkan seorang Senator dan 25 kakitangan Parlimen.

“Selain daripada itu, terdapat juga dua Ahli Parlimen yang dikesan positif hasil saringan di luar kompleks,” ujarnya.

Ujian MKAK juga mendapati kesemua Ahli Parlimen, Senator dan juga pegawai yang hadir menjalani ujian tersebut telah lengkap divaksinasi dengan dua dos suntikan.

“Kita juga mengambil maklum tentang 15 daripada 28 individu tersebut adalah mereka yang telah disahkan COVID-19 sebelum ini pada 27 Mei 2021 hingga 1 September 2021.

“Manakala 13 individu itu pula adalah kes yang baharu dikesan buat pertama kali dalam ujian saringan MKAK pada 10 sehingga 11 September lalu.

“Ujian PCR genotyping assay yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah Varian Beta.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, MKAK telah mula menjalankan penjujukan genom COVID-19 (Whole Genome Sequencing),” jelasnya.

Susulan daripada keputusan positif hasil ujian saringan yang dijalankan MKAK itu, kata Dr Noor Hisham, 13 individu yang disahkan positif dalam ujian saringan pada 10 dan 11 September lalu tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, 13 individu tersebut telah diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) di mana KKM akan menjalankan siasatan dan penilaian risiko untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara mereka serta mengenalpasti kontak rapat.

“Manakala 15 kes individu yang pernah disahkan COVID-19 sebelum ini antara 27 Mei hingga 11 September akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat di kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan.

“Buat masa ini, 15 individu berkenaan juga tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera setelah dimuktamadkan,” tegasnya.

Kesemua yang hadir di persidangan Parlimen yang bermula hari ini sehingga 26 Oktober dinasihatkan agar sentiasa patuh dan mengamalkan SOP sepanjang masa bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19

Sehubungan itu, dalam usaha untuk memastikan pengurangan risiko penularan jangkitan dan kelancaran sidang mesyuarat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan beberapa standard amalan prosedur (SOP) yang perlu dipatuhi oleh mereka yang hadir dalam persidangan kali ini.

Berikut adalah senarai SOP yang ditetapkan KKM dan perlu dipatuhi semua individu yang akan memasuki Kompleks Parlimen Malaysia :

1. Telah menerima vaksinasi lengkap (lebih 14 hari dari tarikh dos terakhir);

2. menjalani ujian saringan COVID-19 secara Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam masa tiga (3) hari sebelum memasuki Kompleks Parlimen Malaysia (kali pertama sahaja)

3. Sepanjang tempoh Persidangan Parlimen berlangsung, semua hadirin yang hadir ke Kompleks Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan COVID-19 di Dewan Serbaguna, Parlimen Malaysia menggunakan kit ujian RTK Ag Saliva, seperti yang ditetapkan oleh pihak Parlimen.

4. Mengimbas Kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum menggunakan ruang / bilik / tandas.

5. Memeriksa suhu badan di pintu masuk Parlimen

6. Mengamalkan pemakaian pelitup muka, digalakkan untuk memakai pelitup muka berganda (double face mask) dan pelindung muka (face shield).

7. Mencuci tangan pada setiap masa.

8. Mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

9. Mengelakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang dengan jarak dekat)

10. Mengamalkan 3W (Wash, Warn and Wear).

Dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan keputusan saringan yang dijalankan sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas diadakan, beliau menasihati agar semua yang hadir di bangunan Parlimen dalam sesi persidangan ini mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.

“KKM menasihatkan agar semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada.

“Ini bertujuan untuk memastikan mesyuarat dapat berjalan lancar, selamat serta penularan COVID-19 dapat dicegah semasa mesyuarat ini berlangsung. KKM akan memaklumkan situasi terkini saringan ini dari semasa ke semasa,” ujarnya.- Oleh Hafiz Hamzah

http://www.pnbbcportal.com/2021/09/13/28-individu-tidak-dibenar-hadir-sidang-parlimen-hari-ini/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo