NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tingkat fungsi komuniti bantu ringan beban pesakit COVID-19




Peningkatan kes harian COVID-19 hingga melebihi 20,000 kes menunjukkan pandemik ini masih kuat dalam komuniti, sekali gus boleh menjangkiti sesiapa sahaja kerana semua orang berisiko tinggi dijangkiti.

Dalam situasi sebegini, sokongan dan kerjasama komuniti sangat diperlukan untuk meringankan beban pesakit terutama yang menjalani kuarantin di rumah.

Komuniti, iaitu jiran tetangga atau sesiapa sahaja berada paling hampir dengan pesakit COVID-19 seharusnya menjadi antara orang pertama selain ahli keluarga terdekat perlu tahu sekiranya seseorang dijangkiti virus ini.

Mengapa berkongsi maklumat sebegini dengan ahli komuniti menjadi tindakan awal yang sepatutnya dilakukan pesakit COVID-19? Ahli komuniti atau jiran ialah orang terdekat boleh memberi bantuan awal kepada kita, berbanding ahli keluarga yang mungkin berada di luar kawasan hingga menyukarkan mereka untuk menghulur bantuan sepatutnya.

Bagaimanapun, terdapat tekanan dan was-was untuk seseorang pesakit berkongsi berita positif COVID-19 ini. Berdasarkan pengalaman sendiri, pengesahan sebagai pesakit COVID-19 menyebabkan seseorang berasa sangat tertekan.

Ia disusuli kerisauan dan rasa bersalah amat tinggi serta pesakit akan berada dalam keadaan dilema kerana risau berita itu akan menyebabkan jiran menjauhkan diri. Perasaan membelenggu itu juga boleh menyebabkan ketakutan melampau kepada pesakit.


Pada masa sama, tindakan pesakit berkongsi berita itu dengan ahli komuniti atau jiran tidak akan mendatangkan hasil baik jika seluruh ahli tidak tahu memberi tindak balas sepatutnya.

Justeru, ahli komuniti perlu bersedia dengan tindakan bijak dalam memberi bantuan awal kepada pesakit COVID-19. Ia akan lebih mudah jika sesuatu komuniti mempunyai kepemimpinan tersusun seperti jawatankuasa kampung, persatuan taman perumahan dan rukun tetangga. Jawatankuasa berfungsi dengan baik sudah pasti dapat membuat perancangan dengan tersusun.

Oleh itu, sesuatu komuniti tidak perlu menunggu untuk berlaku kes COVID-19 di kawasan mereka, baru berusaha menyusun tindakan dan bantuan kepada pesakit dan keluarga yang dikuarantin.

Jawatankuasa komuniti perlu membuat perancangan awal supaya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Tindakan bijak terutama daripada pimpinan komuniti pastinya akan meringankan beban pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka.

Walaupun hal ini nampak remeh, perancangan tidak tersusun boleh menyebabkan pesakit COVID-19 terus tersisih dalam komuniti, malah lebih teruk apabila berlakunya insiden kematian pesakit sendirian akibat tiada sokongan daripada komuniti terhampir.

Kepemimpinan komuniti boleh membangunkan jawatankuasa bertindak COVID-19 sebagai memenuhi keperluan ahli komuniti dijangkiti virus ini. Jawatankuasa ini perlu mempunyai rangka kerja yang boleh bertindak segera apabila mengetahui terdapat jangkitan baharu dalam komuniti.

Antara gerak kerja atau tindakan boleh disusun adalah mengambil maklumat pesakit dan ahli keluarga mendiami rumah secara bersama dalam komuniti berkenaan. Tindakan ini penting untuk menentukan bentuk bantuan perlu.

Ahli jawatankuasa khas juga perlu dilantik untuk menjadi orang tengah antara pimpinan komuniti dengan pesakit COVID-19.

Tindakan ini penting supaya pesakit yang memerlukan rehat dan memberi perhatian kepada penjagaan diri tidak diganggu dengan banyak panggilan telefon atau mesej di pelbagai aplikasi, sekali gus mengelakkan penerimaan maklumat berlapis-lapis.

Jawatankuasa itu juga berperanan membuat pemantauan kesihatan pesakit dan ahli keluarga secara berjadual. Tindakan ini boleh dibuat oleh ahli jawatankuasa khas dilantik atau kumpulan komunikasi yang ditubuhkan.

Antara pemantauan kesihatan berjadual terhadap pesakit boleh dibuat ialah bacaan suhu badan dan bacaan oksigen menggunakan oximeter. Dua perkara ini amat penting dipantau untuk menilai tahap kesihatan pesakit COVID-19 pada peringkat awal.

Pimpinan komuniti boleh merujuk doktor perubatan untuk meminta pandangan dan nasihat terhadap bacaan dibuat. Sekiranya bacaan menunjukkan aras membimbangkan, pimpinan komuniti boleh mencadangkan pesakit untuk segera ke hospital.

Bantuan seperti ini amat penting kerana kadangkala pesakit tidak dapat membuat keputusan sendiri disebabkan kekangan kesihatan mereka. Jadi komuniti boleh berperanan menjadi orang tengah yang memberi idea dan saranan baik kepada pesakit COVID-9.

Begitu juga jawatankuasa perlu menyusun jadual agihan makanan siap masak (ready to eat) kepada pesakit COVID-19 dalam kalangan ahli komuniti. Jadual agihan makanan kepada pesakit boleh dibuka kepada seluruh ahli komuniti khususnya untuk sarapan pagi, tengah hari dan makan malam.

Jadual agihan ini dapat mengelakkan kemungkinan terdapat lebihan dan pembaziran makanan apabila terdapat ahli komuniti menghulurkan bantuan makanan secara serentak. Lebih elok jika kepimpinan komuniti terlebih dahulu meminta pandangan pesakit dan ahli keluarga berkenaan kuantiti makanan diperlukan.

Ini dapat memberi ruang kepada pesakit untuk mendapatkan rehat yang cukup dan menumpukan perhatian terhadap kesihatan mereka.

Malah, bantuan juga boleh berbentuk kerohanian seperti majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi komuniti Muslim atau acara keagamaan tertentu bagi komuniti bukan Islam. Ia adalah sokongan istimewa secara spiritual yang boleh meringan dan menenangkan pesakit COVID-19.

Hakikatnya, komuniti yang baik terhasil daripada kepimpinan komuniti yang terbaik. Perancangan dengan baik dan tersusun dalam berhadapan pandemik COVID-19 ini sangat penting kerana kita tidak tahu bilakah pandemik ini akan benar-benar berakhir ini.

Ketua Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo