NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RM2.8 juta bantu petani terjejas banjir di Kedah




30 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), hari ini, mengumumkan bantuan tambahan bernilai RM2.8 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) akan disalurkan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana alam di Yan dan Kuala Muda, Kedah, baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata kadar bantuan terbabit ialah RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum tiga hektar.

“Penilaian bagi pesawah berkenaan akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas diberi taklimat ringkas oleh pengurusan tertinggi mengenai situasi banjir di Kedah, dalam acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan, hari ini.

Yang turut hadir ialah dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, selain Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Dalam pada itu menerusi satu kenyataan dikeluarkan MAFI, Ronald melalui taklimat itu dimaklumkan bahawa 34.2 hektar kawasan tanaman padi berusia antara 75 hingga 105 hari bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di kawasan Boi, Yan, terjejas dalam kejadian berkenaan.

Katanya, kawasan luar jelapang yang terkesan pula ialah bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok, seluas 18.4 hektar berusia antara 95 hingga 105 hari.

Selain itu, kawasan bawah seliaan Jabatan Pertanian membabitkan 15,759 hektar berusia antara 95 hingga 110 hari.

“Ini menjadikan keseluruhan keluasan terbabit ialah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian.

“Kejadian ini menyebabkan hasil padi tidak dapat dituai sepenuhnya kerana padi rebah selepas banjir surut dari kawasan sawah padi. Kualiti padi yang dituai juga akan terkesan dan seterusnya menjejaskan pendapatan pesawah terbabit,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memperuntukkan RM1.1 juta bagi membaik pulih 34 hektar sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan, yang musnah dalam banjir lumpur akibat fenomena kepala air dari Puncak Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika meninjau lokasi bencana berkenaan pada minggu lalu.

http://www.pnbbcportal.com/2021/08/30/rm2-8-juta-bantu-petani-terjejas-banjir-di-kedah


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo