NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejabat Motac wajar diwujud semula di setiap negeri


Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Pejabat cawangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (Motac) wajar diwujudkan semula di negeri ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan yang terjejas teruk dengan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kesan wabak Kelantan mengalami kerugian dianggar RM2.6 bilion tahun lalu.

Beliau berkata walaupun sektor itu diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan pusat dalam Perlembagaan Persekutuan, namun semua pihak termasuk kerajaan negeri perlu bersama-sama memulihkan semula keadaan.
Advertisement

“Pada pendapat kita Motac di peringkat negeri-negeri perlu diadakan kembali, kita faham sektor tourism sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai dalam bidang kuasa kerajaan pusat di bawah fasa 25A.

“Sebab itu kita minta Motac di Kelantan diwujudkan semula untuk kita bersama-sama merancang pembangunan semula sektor pelancongan, bukan sahaja di Kelantan tetapi semua negeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian webinar Dialog Strategik Pembinaan Tamadun Kelantan yang bertajuk ‘Keunikan Negeri Kelestarian Pelancongan’ yang diadakan secara dalam talian di sini semalam.

Ia dipengerusikan Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS), Dr. Wan Nik Wan Yussof, menampilkan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Ustaz Dato’ Dr Johari Mat dan Pengurus Besar Suka Borneo Travel, Mohd Rahimin Mustafa.

Dialog terbabit merupakan sebahagian inisiatif PKS bagi mengumpul maklumat serta input berguna daripada pengiat industri pelancongan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi ditambah baik dari semasa ke semasa.

Kerajaan pusat sebelum ini mengumumkan penutupan semua pejabat Tourism Malaysia seluruh negara bagi mengelakkan pertindihan peranan dengan agensi kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi pelancongan.

Pengumuman itu dilakukan Motac yang ketika itu diketuai Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, membabitkan 14 pejabat pelancongan, dan sekarang sektor pelancongan di Pantai Timur berpusat di Kuantan Pahang.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo