NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MIC cadang serah sementara jawatan Pengerusi BN kepada parti kompone

Tan Sri SA Vigneswaran, Presiden MIC
SHAH ALAM - MIC mengesahkan sudah meminta satu mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan status terkini dan hala tuju kepimpinan BN pada masa hadapan.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, hal ini disebabkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) menjelaskan status perjawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas tamat tempoh penggal kepimpinan 2018/2021 pada 30 Jun lalu adalah bersifat 'caretaker' dengan parti itu tidak boleh membuat sebarang keputusan substantif.

Jelas beliau, mesyuarat itu perlu diadakan segera bagi membolehkan BN menentukan jawatan tertinggi koalisi itu termasuk Pengerusi, diserahkan sementara kepada mana-mana parti komponen yang dipersetujui semua pihak.

Tambah beliau lagi, sekiranya keputusan penyerahan sementara jawatan-jawatan penting BN yang kini digalas pemimpin UMNO itu tidak dilaksanakan, pihaknya bimbang segala keputusan dibuat BN selepas 30 Jun tidak terpakai dan boleh dicabar undang-undang.

"Kami sudah minta mesyuarat Dewan Tertinggi BN diadakan dalam masa terdekat memandangkan kami bimbang dengan status terkini kepimpinan BN susulan RoS mengumumkan status perjawatan MKT UMNO ketika ini hanya bersifat 'caretaker'.

"Apabila keadaan itu berlaku, kami bimbang sebarang keputusan dibuat Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO pada ketika ini akan dianggap tidak sah dan boleh dicabar (undang-undang).

"Bagi mengelakkan perkara berbangkit berlaku, BN perlu menentukan jawatan tertinggi koalisi itu diserahkan kepada mana-mana parti komponen yang mendapat persetujuan semua pihak, buat sementara waktu,"katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim yang mengesahkan perjawatan MKT UMNO kini hanya bersifat 'caretaker' dan sekadar berkuasa menjalankan kerja-kerja pentadbiran biasa parti setelah tamat tempoh penggal kepimpinan pada 30 Jun lalu.

Bercakap kepada sebuah portal berita tempatan, Jasri turut menegaskan UMNO perlu membawa sebarang cadangan pelaksanaan atau keputusan dasar parti ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 terlebih dahulu dengan sebarang keputusan dasar selepas 30 Jun, dianggap tidak sah.

Terdahulu, RoS dalam satu surat bertarikh 6 Ogos lalu menjelaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu bagi tempoh 18 bulan, turut dianggap tidak sah.

Pada saat ini, MIC merupakan sebahagian daripada empat parti komponen BN yang turut dianggotai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dua jawatan penting dalam BN iaitu Pengerusi dan Setiausaha Agung koalisi itu pada ketika ini turut digalas oleh Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan ahli Parlimen BN adalah 42 orang dengan 38 daripadanya terdiri ahli Parlimen UMNO, dua ahli Parlimen MCA, satu ahli Parlimen MIC dan satu lagi ahli Parlimen daripada PBRS.

- Sinarharian


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo