NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kluster mahkamah dipersilakan tubuh kerajaan 'kleptokrat': Pak Wan

Mohd Redzuan atau Pak Wan
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mempersilakan 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan sebuah kerajaan 'kleptokrat'.

Menyifatkan tindakan 15 ahli Parlimen UMNO bertanggungjawab memusnahkan kerajaan PN, beliau turut menganggap keputusan ahli-ahli Parlimen 'kluster mahkamah' berkenaan adalah tindakan kurang bijak kerana memperjudikan nyawa rakyat pada saat negara sedang memerangi pandemik Covid-19.

Jelas Mohd Redzuan lagi, beliau kesal dengan tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada saat semua pemimpin politik sepatutnya berganding bahu menangani krisis Covid-19.

"Tan Sri Muhyiddin mungkin tiada majoriti, hanya memiliki sokongan 100 ahli Parlimen, jadi siapa yang ada sokongan majoriti 111 ahli Parlimen dipersilakan bentuk kerajaan baharu.
"Saya amat kesal dengan tindakan kurang bijak 15 ahli Parlimen UMNO yang mengundang krisis politik ketika ini. Saya persilakan kluster mahkamah ini untuk membentuk kerajaan kleptokrat," 
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Muhyiddin dijangka meletakkan jawatan pada Isnin ini susulan tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen.

Keputusan peletakan jawatan Muhyiddin itu, sekiranya sahih, secara rasminya akan menyebabkan kerajaan PN jatuh dengan kedudukan Jemaah Menteri akan terbubar secara automatik.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Jumaat menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.
Zahid bersama 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sekali gus menyebabkan Ali Parlimen Pagoh itu hilang majoriti.
Sehingga kini, jumlah ahli Parlimen UMNO yang difahamkan sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah seramai 14 orang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan, kumpulan ahli Parlimen 'kluster mahkamah' ini sebenarnya membuat tuntutan agar kes mahkamah dihadapi pemimpin-pemimpin mereka dapat diketepikan dengan campur tangan Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Perdana Menteri itu merupakan seorang berprinsip dan tidak sesekali akur dengan tuntutan mereka supaya urusan mahkamah dicampuri kerajaan PN.

"Kalau negara tidak mahu pemimpin berprinsip sebegini, jadi terpulanglah dan saya ucap selamat maju jaya kepada Malaysia.

"Begitu juga kalau ahli-ahli politik sebegini sudah tak nak kerajaan peka Covid-19, terpulanglah kepada Istana Negara dan rakyat untuk tentukan siapa jadi kerajaan baharu," katanya.

Sementara itu, sumber Bersatu memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa satu mesyuarat khas Kabinet akan diadakan pada pagi Isnin.

Difahamkan, mesyuarat itu bakal membincangkan kedudukan terkini kerajaan PN pada saat Muhyiddin didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada 220 ahli Parlimen.

Lebih menarik, sekiranya Muhyiddin akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan Perdana Menteri, Istana Negara dijangka memutuskan pembentukan sebuah kerajaan sementara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sinar Premium turut dimaklumkan nama-nama pemimpin UMNO seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut untuk mengetuai kerajaan sementara berkenaan, sekiranya direalisasikan.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo