Responsive Ad Slot

Kekal bersama PN adalah konsensus bersama dalam BN - Wee Ka Siong

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya akan kekal bersama Barisan Nasinal (BN) dan keputusan yang dibuat secara konsensus oleh gabungan itu.

Dalam sebuah respons terhadap bekas presiden Umno Najib Razak, Wee berkata MCA sentiasa mengingati jasa Umno dalam membantu parti itu ketika berdepan pilihan raya dan akan kekal bersama gabungan politik itu.

“MCA sentiasa mengenang budi dan tidak lupa jasa dan bakti Umno yang membantu calon MCA, Wee Jeck Seng menentang calon PH (daripada Bersatu) dan kemudian menang PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019.”

Menurut Wee, perhimpunan agung MCA pada 7 Mac 2021 memutuskan kekal bersama BN.

BN sebuah gabungan politik yang diasaskan Umno, MCA dan MIC sejak sebelum kemerdekaan negara.

“Itu pendirian jelas dan MCA tidak pernah berhajat menyertai mana-mana gabungan parti politik yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Wee berkata MCA berpegang kepada keputusan bersama BN untuk menyertai kerajaan PN.

“Pada Mac 2020, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa ahli-ahli Parlimen secara en bloc menyertai kerajaan PN dan secara lantang menyatakan pendirian ‘no PKR & no DAP’.

“MCA menyokong keputusan BN secara kolektif. Selagi ketetapan BN tersebut tidak diubah, maka MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang diluluskan secara konsensus dalam BN sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya.

Terdahulu, dalam sebuah hantaran Facebook, Najib dilihat mempersoalkan MCA yang dianggap sudah melupakan Umno sebagai sekutu politiknya.

Najib memuat naik video yang memaparkan aktivis Umno membantu calon MCA ketika PRK Tanjung Piai pada 2019.

Najib dipercayai merujuk keputusan MCA yang turut serta mengumumkan sokongan terhadap kerajaan PN pada sidang media yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob 6 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Wee berkata BN sentiasa mengamalkan konsensus bersama dalam perbincangan sebelum mengambil keputusan politik mereka.

“BN adalah platform kita bersama. Ramai yang mungkin keliru bahawa apa yang dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi (MT) parti komponen akhirnya akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk pertimbangan bersama semua parti komponen.

“Selama ini, itu jua mekanismenya,” katanya.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo