NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Enam kemungkinan ‘What’s Next’ selepas PM letak jawatan




SEJAK sidang khas Parlimen diadakan pada 26 Jun lalu, negara Malaysia seolah-olah dilanda satu lagi episod tsunami politik yang amat dahsyat.

Seiring dengan kehadiran musim tengkujuh, satu demi satu polemik politik membadai kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehinggalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mengangkat bendara putih dengan dijangka meletak jawatan pada Isnin.

Tsunami politik yang berlaku ketika ini mengulangi dua tsunami politik besar sebelum ini iaitu kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 serta peristiwa keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun lalu.

Menariknya, semua pencatur politik negara pada kali ini tidak menunggu Muhyiddin meletak jawatan terlebih dahulu sebelum menggerakkan strategi melalui buah catur masing-masing.

Sebaliknya, segala gerakan dan strategi politik sudah digerakkan mereka, sama ada daripada pemimpin politik daripada parti-parti dalam kerajaan PN sendiri mahu pun parti-parti pembangkang sejak Jumaat lalu.

Hal ini disebabkan Muhyiddin dalam satu perutusan khas telah mengumumkan tawaran mega, kerjasama rentas parti kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan kerajaan diketuai beliau berfungsi dengan mendapat sokongan bi-partisan, sehingga krisis Covid-19 reda pada Julai tahun hadapan.

Penulis tidak mahu mengulas lanjut mengenai tujuh intipati tawaran mega Muhyiddin yang lebih berbentuk satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang, termasuk 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap beliau.

Tetapi melalui perutusan khas berkenaan, Ahli Parlimen Pagoh itu sebenarnya sudah mengesahkan kerapuhan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri apabila mengakui beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti secara terbuka kepada umum.

Ditambah dengan kesemua parti dalam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Muda (Muda) serta fraksi UMNO menolak kerajaan PN, secara terbuka mengenepikan tawaran berkenaan.

Justeru, Muhyiddin dianggap tidak lagi mempunyai ruang untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dengan beliau perlu menghormati Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan setelah dianggap tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Justeru, persoalan paling utama meniti di bibir rakyat ketika ini, ‘what’s next’ atau apa akan jadi kepada politik negara seterusnya, sekiranya Muhyiddin mengesahkan perletakan jawatan beliau pada Isnin?

Sebagaimana peristiwa Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu yang menyaksikan pecutan terakhir episod ‘Game Of Thrones’ pentadbiran Putrajaya akhirnya menyaksikan seorang pemimpin ‘underdog’ seperti Muhyiddin akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan.

Sinar Premium turut menyakini jalan cerita sebegitu akan diulangi pada episod peralihan kuasa kerajaan kali ini bagi menggantikan kerajaan PN yang hanya sempat mentadbir Malaysia selama 17 bulan sahaja.

Meskipun nama-nama seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri kerajaan BN, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi disebut-sebut akan kembali mendukung legasi kepimpinan negara selepas ini.

Nama-nama seperti bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Mereka ini masih mempunyai peluang sama rata untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu, tidak kira sama ada dalam bentuk kerajaan mempunyai sokongan majoriti, kerajaan minoriti, kerajaan perpaduan atau kerajaan yang ditadbir oleh sebuah institusi bebas politik di bawah seliaan Yang di-Pertuan Agong, seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sebenarnya, perkara ini perlu diserahkan kepada bidang kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan bentuk kerajaan baharu, selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan Seri Paduka Baginda hendaklah terlebih dulu melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, segala kemungkinan masih boleh berlaku ketika ini dan Sinar Premium menyenaraikan enam kemungkinan ‘what’s next’ yang berpotensi terjadi setelah kerajaan PN tumbang pada Isnin.

1) LANGKAH ROYAL CHULAN ULANGI LANGKAH PERAK

Sejak Ahad, spekulasi kewujudan gerakan ‘Langkah Royal Chulan’ hangat diperkatakan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan sedang berusaha mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen bagi membolehkan UMNO kembali mengetuai kerajaan.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila beliau mengakui menandatangani SD bagi membolehkan Naib Presiden UMNO berkenaan diangkat sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin.

Lebih menarik, Langkah Royal Chulan yang diambil nama berdasarkan pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO dan Bersatu di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada petang Ahad, berkemungkinan besar mengulangi Langkah Perak yang berjaya menukar kepimpinan Menteri Besar daripada Bersatu kepada Menteri Besar UMNO pada Disember 2020.

Sinar Premium difahamkan sekiranya Ismail Sabri dipilih sebagai calon Perdana Menteri baharu dan mendapat sokongan semua ahli Parlimen BN termasuk fraksi ahli Parlimen UMNO menolak Muhyiddin, maka seorang calon Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu akan dipilih.

Bahkan, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa Ismail Sabri turut mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir pada malam Ahad.

Pertemuan itu sebenarnya memberi petanda jelas bahawa Pejuang dan mungkin Warisan, bakal menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu berbanding memihak kepada Anwar.

Situasi terkini itu juga mengenepikan kebimbangan Ismail Sabri mungkin tidak dapat sokongan ahli Parlimen mencukupi susulan fraksi UMNO menolak Muhyiddin diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tidak menyokong beliau.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU : 8/10

2) ANWAR MENDAPAT SOKONGAN FRAKSI ZAHID, WARISAN

Senario ini juga berkemungkinan berlaku memandangkan fraksi UMNO menolak Muhyiddin diketuai Ahmad Zahid sudah lama dikaitkan dengan spekulasi membentuk jajaran politik baharu dengan Anwar dan PH.

Bahkan, fraksi Zahid yang turut diperkuatkan dengan sokongan Najib mungkin merasakan adalah lebih baik mereka kekal dengan status sebagai parti pembangkang pada saat krisis Covid-19 mengundang risiko kepada kerajaan baharu yang mengambil alih.

Hal ini kerana sekiranya berlaku pembentukan kerajaan minoriti PH disokong UMNO, langkah menandatangani perjanjian CSA bagi memastikan ahli-ahli Parlimen parti itu mendapatkan peruntukan sama adil sebagaimana ahli Parlimen kerajaan adalah dilihat lebih menguntungkan parti itu pada saat mereka lebih menfokuskan PRU15.

Dengan Anwar memiliki sokongan 89 ahli Parlimen daripada PH, tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Shafie daripada Warisan dijangka mampu mengubah pendirian lapan ahli Parlimen parti dari Sabah berkenaan untuk mengembalikan pembentukan kerajaan PH tanpa blok Bersatu dan Pejuang.

Selain itu, Anwar juga mampu ‘mencuri’ sokongan daripada wakil tunggal Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta calon bebas, Dr Maszlee Malik yang sejak kebelakangan ini cenderung menyokong gerakan politik PH.

Bagaimanapun, pendirian fraksi Ahmad Zahid yang kekal menolak Anwar dan DAP bagi pembentukan kerajaan baharu, berkemungkinan menjadi rintangan besar kepada Ahli Parlimen Port Dickson bagi membolehkan beliau akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri.

Ditambah dengan Anwar berkemungkinan besar tidak akan sesekali menerima sokongan daripada musuh ketat beliau, Dr Mahathir yang lebih mengharapkan agar Yang di-Pertuan Agong merestui cadangan pembentukan sebuah kerajaan seakan-akan Mageran.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU: 6/10

3) NAJIB, TUN M ATAU KU LI KETUAI MAGERAN 2.0

Spekulasi ini semakin bertiup kencang dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO sejak seminggu lalu.

Difahamkan majoriti pemimpin UMNO, termasuk sebilangan ahli Parlimen UMNO yang menolak Muhyiddin, lebih menyokong sekiranya Yang di-Pertuan Agong menitahkan cadangan pembentukan sebuah institusi pentadbiran negara yang bersifat sementara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Dengan fungsi Mageran 2.0 ini hanya bersifat sementara, tiada kepentingan politik serta dikhaskan semata-mata untuk menyelesaikan krisis Covid-19 sehingga negara mencapai tahap imuniti berkelompok, cadangan ini turut menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia yang sudah muak dengan aktiviti politiking berterusan pada saat rakyat semakin susah.

Lebih menarik, sekiranya cadangan pembentukan Mageran 2.0 diperkenan Seri Paduka Baginda, nama-nama seperti Najib, Dr Mahathir dan Ku Li disebut-sebut calon paling layak mengepalai Mageran 2.0.

Bahkan menurut sumber dalaman UMNO, Najib mempunyai kelebihan untuk dipilih sebagai Pengerusi Mageran 2.0 meskipun terpalit kes mahkamah kerana beliau didakwa sebagai pilihan Istana Negara serta popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi Ku Li pula, status beliau sebagai seorang negarawan berprinsip serta tokoh paling dihormati sahabat dan seteru politik membolehkan beliau dianggap calon paling layak diangkat bagi jawatan itu.

Untuk pencalonan Dr Mahathir, umum mengetahui fraksi menyokong beliau secara jelas melobi supaya pengasas Pejuang itu diangkat mengemudi Mageran 2.0, sebagai jasa perkhidmatan terakhir beliau kepada negara bersifat ‘last hurrah’.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU: 7/10

4) KERAJAAN ATAU PERDANA MENTERI INTERIM DITUBUHKAN

Senario politik ini kemungkinan paling rendah berlaku kerana kerajaan atau Perdana Menteri interim sendiri tidak pernah dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, berdasarkan amalan duluan demokrasi negara, mana-mana pemimpin yang dilantik sebagai Perdana Menteri interim sudah pasti dipilih kembali Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan Perdana Menteri sedia ada yang meletak jawatan itu.

Perkara itu diperjelaskan oleh tokoh veteran UMNO, Dr Mohammad Khir Toyo yang menegaskan bidang kuasa kerajaan interim juga terhad dalam soal menguruskan sementara pentadbiran negara sehingga pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Pada saat negara berdepan ancaman besar krisis Covid-19 yang tidak kunjung reda, langkah memperkenankan pembubaran Parlimen adalah satu perkara yang pastinya mahu dielakkan bukan sahaja oleh Istana Negara, bahkan rakyat Malaysia.

Selain itu, ramai penganalisis politik berpandangan sekiranya PRU15 diadakan pada saat kritikal pandemik ketika ini, ulangan episod penularan luar biasa jangkitan Covid-19 sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pastinya akan berlaku sekali lagi.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU: 1/10

5) PEMBANGKANG ATAU PN BENTUK KERAJAAN PERPADUAN

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan ini bukan asing kepada rakyat Malaysia, bahkan pernah dikemukakan oleh Dr Mahathir sebaik sahaja beliau meletak jawatan Perdana Menteri kerajaan PH dan kembali dilantik Perdana Menteri interim pada Februari 2020.

Bagaimanapun, senario itu dianggap sukar berlaku pada saat parti-parti politik di Malaysia lebih gemar bermain politik pada saat krisis Covid-19 ketika ini dan merasakan pemimpin parti masing-masing lebih layak menjadi Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin.

Menariknya, pada saat kritikal ketika ini, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) mengemukakan tawaran mengejutkan dengan mengajak Muhyiddin dan Bersatu kembali menyokong PH mengembalikan mandat rakyat setelah memerintah negara selama 22 bulan.

Tawaran Khalid itu sudah pasti sebagai counter-offer kepada Muhyiddin susulan fraksi UMNO diketuai Zahid hampir pasti tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri baharu.

Namun dalam konteks sama, fraksi UMNO dipimpin Ismail Sabri dengan kerjasama Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mampu menawarkan tawaran sedemikian.

Hakikatnya, pengumuman khas Muhyiddin pada Jumaat lalu sebenarnya satu cubaan bagi kerajaan PN merealisasikan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan, meskipun kerajaan baharu mungkin tidak disertai secara rasmi oleh parti-parti pembangkang.

Tawaran dikemukakan Muhyiddin ditolak parti-parti pembangkang kerana mereka berpandangan ia sudah terlambat untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, pertimbangan berbeza mungkin boleh dibuat parti-parti pembangkang sekiranya seorang Perdana Menteri baharu diangkat dalam kalangan parti-parti serpihan PN.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU: 4/10

6) MUHYIDDIN KEKAL PM, DAP TANDATANGAN PERJANJIAN CSA

Kemungkinan ini paling menarik boleh berlaku berbanding lima kemungkinan lain.

Meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Muhyiddin bakal meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Isnin.

Namun, terdapat sebilangan penganalisis politik berpandangan kenyataan itu mungkin strategi psikologi politik Muhyiddin dan Bersatu untuk ‘membeli’ masa bagi membolehkan beliau akhirnya mendapat sokongan daripada blok pembangkang terutama DAP.

Langkah pengumuman Muhyiddin bakal meletak jawatan juga seolah-olah memberi tekanan kepada DAP bahawa parti itu bakal menyaksikan sebuah kerajaan didominasi pemimpin UMNO terpalit isu kleptokrasi akan kembali berkuasa sekiranya PN jatuh.

Ditambah dengan laporan akhbar The Star yang memetik kenyataan sumber bahawa beberapa pemimpin atasan DAP berkemungkinan bersedia berunding kembali dengan Muhyiddin bagi memeterai perjanjian CSA.

Segalanya tidak mustahil pada saat Muhyiddin masih lagi belum menyerahkan surat perletakan jawatan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara yang dijangka akan dilakukan pada tengahari Isnin.

Bahkan, harapan terakhir DAP untuk melobi agar Anwar akhirnya ditabalkan sebagai Perdana Menteri baharu semakin tipis setelah Presiden PKR itu didakwa tidak mendapat sokongan ‘grand coalition’ daripada blok pembangkang serta fraksi Zahid sendiri.

POTENSI KEMUNGKINAN BERLAKU: 5/10

Akhir kalam, waima apa sekalipun yang mungkin berlaku selepas Muhyiddin dijangka meletak jawatan, Sinar Premium merayu kepada ahli-ahli politik untuk kembali menghentikan aktiviti politiking pada saat nyawa rakyat menjadi taruhan.

Jangan sampai rakyat sudah muak, bersikap prejudis terhadap insititusi politik itu sendiri dan akhirnya membuat keputusan untuk memboikot pilihan raya umum disebabkan tidak lagi menaruh keyakinan terhadap kredibiliti ahli-ahli politik Malaysia.

https://mykmu.net/2021/08/16/enam-kemungkinan-whats-next-selepas-pm-letak-jawatan/


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo