NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid-19: Mencari rawatan al-ternatif




Oleh Dr Ridzwan bin Ahmad

SELURUH dunia ketika ini berdepan dengan pendemik covid-19 yang muncul tiba-tiba pada akhir 2019. Sehingga dunia menyaksikan penyakit ini meragut nyawa melebihi 4.33 juta.

Di Malaysia sahaja, kes baharu telah melonjok naik melebihi 22000 kes sehari manakala kematian telah mencecah 14000. Di antara pendekatan yang diterima pakai oleh kebanyakan negara di dunia ketika ini dalam menangani pendemik covid-19 ialah pemberian vaksin kepada rakyat masing-masing.

Ketika ini Malaysia direkodkan di antara negara yang terpantas memberi vaksin kepada rakyatnya. Malah terdapat dua negeri yang telah pun mencapai imuniti kelompok iaitu Wilayah Persekutuan dan Sarawak.
Pengambilan vaksin di antara pencegahan dan rawatan

Pada dasarnya penentuan penyakit dan penyembuhannya adalah milik Allah s.w.t . Ia merupakan asas pegangan aqidah umat Islam. Namun usaha merawat dan berubat tetap diteruskan kerana ia merupakan ikhtiar yang boleh dilakukan bagi mencapai penyembuhan. Oleh itu umat Islam dituntut untuk tidak berputus asa dalam mencari rahmat Allah s.w.t. bagi mendapatkan penyembuhan selagi ianya diizinkan.

Ketika ini pengambilan vaksin belum dianggap sebagai usaha rawatan sepenuhnya. Ia lebih kepada pencegahan terhadap penyakit yang belum berlaku walaupun tahapnya masih bersifat zanni (relatif) dan bukan qat’i (pasti).

Menurut Syarak, mengambil sikap tidak memberikan rawatan dengan alasan tidak ada harapan sembuh bukan tindakan yang tepat bagi para perawat dan juga pesakit. Ini kerana kesembuhan adalah urusan Allah s.w.t. meskipun para pakar perubatan boleh menentukan berdasarkan keilmuannya sama ada pesakit dikategorikan sebagai masih ada harapan sembuh atau sebaliknya.
Peperangan Dunia ketiga

Sebagaimana yang diketahui ketika ini seluruh dunia berdepan dengan serangan covid-19 bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan dunia seolah-olah sedang menempuh peperang dunia ke-3. Kita berada dalam situasi peperangan yang melibatkan nyawa, ekonomi, akal, agama dan keturunan.

Dalam peperangan, strategi pertahanan adalah bersifat sementara. Ia tidak menjanjikan kemenangan hakiki. Strategi yang tepat ialah bertahan dan menyerang musuh. Apabila pertahanan sudah tidak mampu memberi keyakinan sepenuhnya maka strategi serangan perlu dilakukan.

Dalam situasi kemelut covid-19 ketika ini mencari rawatan adalah dianggap serang hendap manakala pemberian vaksin hanya dianggap strategi mempertahankan diri. Mereka yang telah dijangkiti virus covid-19 sama ada telah divaksin ataupun tidak walaupun disahkan sembuh belum tentu akan sihat sejahtera selama-lamanya selepas itu.

Oleh itu amat penting usaha dilakukan agar tidak dijangkiti pada peringkat awal walaupun pada tahap satu atau dua sekalipun. Pengambilan vaksin dikatakan mampu mengurangkan risiko jangkitan virus covid-19 di tahap tiga, empat dan lima. Manakala tahap satu dan dua masih lagi belum kebal.

Begitu juga dikatakan pesakit yang telah divaksin sepenuhnya jika berada di tahap empat dan lima, mempunyai peluang yang lebih besar untuk sembuh berbanding mereka yang tidak divaksinkan.

Sesuatu yang perlu dilakukan kajian ketika ini ialah adakah vaksin semata-mata boleh mengelak dari jangkitan ke tahap empat dan lima ataupun ia masih bergantung kepada imun badan individu seseorang.

Ini kerana tidak dinafikan terdapat ramai juga dalam kalangan pesakit yang tidak divaksin mengalami jangkitan tahap satu atau dua sahaja dan mampu sembuh selepas itu. Begitu juga walaupun dikatakan peratusnya amat kecil, mereka yang divaksin sepenuhnya masih dijangkiti ke tahap empat dan lima bahkan ada yang meninggal dunia.

Justeru itu timbul persoalan adakah daya imunisasi badan yang memainkan peranan utama dalam menentukan kesembuhan penyakit ini ataupun sebaliknya.

Jika sistem imunisasi badan yang memainkan peranan utama maka sama ada mereka yang divaksin ataupun tidak perlu sentiasa berusaha meningkatkan imun badan bukannya mengharapkan suntikan vaksin semata-mata.

Ini kerana kajian terhadap penggunaan vaksin dan keberkesanannya masih baharu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelbagai varian seperti Delta, Kappa, Alpha, Lambda dan sebagainya sedangkan vaksin dikeluarkan sebelum jelmaan pelbagai varian tersebut.

Justeru pihak Kerajaan melalui KKM perlu menggalakkan rakyat agar sentiasa meningkatkan imun badan melalui pemilihan makanan semula jadi, suplimen tertentu dan pendedahan cahaya matahari, bukan hanya mengalakkan vaksinisasi semata-mata.
Penawar Covid-19

Sesungguhnya tidak dapat tidak untuk berjaya sepenuhnya dalam peperangan ini penawar kepada penyakit covid-19 ini perlu dicari segera. Ini kerana setiap penyakit itu mempunyai penawarnya. Dalam Islam begitu banyak hadis yang menjelaskan hakikat ini.

Di antaranya ialah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: “tidak didatangkan oleh Allah sesuatu penyakit kecuali didatangkan juga penawarnya (riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah).

Begitu juga sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Dari Jabir bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:“Setiap penyakit itu mempunyai ubatnya, apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Dalam menjelaskan hakikat kesembuhan ini Imam Nawawi menyatakan bahawa kemungkinan ada yang mendakwa ramai yang berubat tetapi tidak sembuh. Namun beliau menjawab dengan menyatakan bahawa kesembuhan tidak berlaku disebabkan tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi terhadap penyakit bukannya ketiadaan ubat terhadap penyakit tersebut (Sharh al-Muslim, 14/192).

Barang kali ramai yang bertanya di mana penawar covid-19. Jika tiada ditemui teruskanlah dengan vaksin semata-mata, yang lain itu hanyalah persepsi ataupun ingin menganggu proses vaksinisasi negara. Dalam menunggu kajian untuk menemui penawarnya, berapa ramai lagi rakyat yang akan meninggal, cukuplah 14000 ketika ini!.

Persoalannya adakah sejak munculnya covid-19 di hujung 2019, pakar perubatan kita telah melakukan pelbagai kajian untuk mencari penawarnya. Dalam maqasid al-shari’ah sesuatu yang berlaku itu boleh dikategorikan sebagai qat’iyyah (pasti), zanniyyah (relatif) dan wahmiyyah (sangkaan).

Pergantungan kepada vaksin secara berterusan dengan mengharapkan dunia akan kembali aman dan sejahtera apabila imuniti kelompok telah tercapai masih bersifat zanni dan bukan qat’i.

Di Malaysia sendiri Sarawak dan Kuala Lumpur telahpun mencapai vaksinasi melebihi 80% namun sehingga kini kes covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Kes harian terkini di Sarawak mencecah 1964 manakala kes di Kuala Lumpur masih mencecah 12200.

Komuniti kelompok masih dianggap zanni dan bukan qat’i. Justeru itu tidak boleh bergantung dengan zanni semata-mata sedangkan kita berada dalam suasana peperangan.
Anugerah Ilahi

Sebenarnya Allah s.w.t telah menyediakan pelbagai anugerah alam kepada manusia termasuklah tumbuhan herba dan makanan yang bersifat alami. Kenapa kita masih ragu-ragu dengan anugerah tersebut. Ketika ini walaupun ivermectin didakwa oleh sesetengah pihak mampu merawat covid-19 namun ia masih bersifat zanni dan perlu kajian klinikal yang lebih mendalam.

Ivermectin dibuat pada asalnya untuk merawat parasit dalam haiwan dan kudis buta pada manusia. Justeru jika diqiyaskan kepada konsep maqasid al-shari’ah penggunaannya terhadap penyakit covid-19 dianggap sebagai maqasid tabi’ah (motif sampingan) dan bukannya maqasid asliyyah (motif asal)[al-Shatibi, al-muwafaqat, 2/476].

Di Malaysia penggunaan ivermectin untuk merawat pesakit covid-19 di tahap empat dan lima masih di bawah kajian.

Kenapa kita tidak melihat kepada anugerah alam yang berupa herba alam semula jadi. Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu (al-Baqarah, 29).

Persoalannya sehingga kini siapa dalam kalangan saintis dan pakar perubatan di Malaysia yang membuat kajian tentang kebaikan dan kemanfaatan herba untuk merawat covid-19. Kenapa perlu berpeluk tubuh hanya bergantung kepada vaksin semata-mata. Sebaiknya serampang dua mata dilakukan iaitu beramal dengan sadd al-dhari’ah (menutup pintu kerosakan) dan fath al-dhari’ah (membuka pintu kemanfatan).

Di samping vaksin yang hanya bersifat perisai, kemungkinan rapuh pertahanannya dengan kesan sampingan dalam jangka masa panjang yang belum dapat dipastikan, penawar sebenar penyakit ini perlu dicari melalui kajian makmal dan klinikal.

Kesimpulannya di samping vaksin, satu gerakan penyelidikan dan kajian terhadap keberkesanan herba tempatan dan kaedah tertentu yang lain dalam menghapuskan covid-19 perlu digerakkan segera.

Slogan “kita perlu terima hakikat bahawa kita terpaksa hidup bersama covid-19” dengan hanya mengamalkan vaksinasi semata-mata perlu dilenyapkan. Kita mempunyai ramai saintis dan pakar di universiti awam dan universiti swasta yang boleh melaksanakan kajian tersebut.

Kerajaan Malaysia yang baharu ditubuhkan perlu memberi inisiatif dan bantuan serta fokus yang sewajarnya terhadap usaha dan gerakan ini.

Pengharapan terhadap vaksin masih bersifat zanni walaupun dikatakan kes kritikal akibat pengambilan vaksin sudahpun kelihatan turun ketika ini. Namun kemunculan pelbagai varian terkini yang kalis vaksin tidak mungkin membiarkan impian tersebut tercapai dengan semudah itu.

Adakah rakyat akan disuntik berkali-kali apabila setiap kali varian terkini muncul. Dalam kaedah fiqhnya kemudaratan hendaklah dihilangkan manakala kemudaratan pula tidak boleh diganti dengan kemudaratan yang lain (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir, 173 ).

Justeru itu fokus negara ketika ini sepatutnya bukan hanya mengurangkan kes yang kritikal bahkan menyelamatkan rakyat dari sebarang jangkitan covid-19 sama ada kritikal ataupun tidak.

Ini kerana jangkitan yang kritikal kebiasaanya akan dimulai dengan jangkitan biasa sama ada disedari ataupun tidak oleh pesakit.

Sejarah telah mencatatkan kerajaan terdahulu sebelum ini pernah berjaya menurunkan kes jangkitan covid-19 dengan ketaranya namun kemunculan vaksin baharu yang mengganas selepas itu memporak perandakan segala kejayaan tersebut sehingga menyumbang kepada kejatuhannya.

Wa Allah a’lam.

Dr Ridzwan Ahmad merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh Dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo