Responsive Ad Slot

17 bulan di Kementerian : Inisiatif dan Pencapaian YB Kak Lah




DI SEBALIK kesedihan yang dirasai bersama majoriti rakyat Malaysia dengan bubarnya kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), digagahkan juga untuk menyertai Konvensyen Pemimpin Muda 2021 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang berakhir 18 Ogos lalu.

Konvensyen berkenaan membawakan tema yang begitu menarik iaitu ‘Merealisasikan Pemerkasaan Wanita’. Namun sejak pembubaran kabinet pada 16 Ogos, pada hemat kami masih belum banyak penulisan berkenaan kejayaan-kejayaan ahli kabinet wanita dalam kerajaan PN.

Oleh itu, wujudnya penulisan ini bertujuan menunjukkan sejauh mana pemerkasaan wanita ini benar-benar direalisasikan oleh ahli kabinet wanita dari PN.

YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff atau lebih mesra dipanggil YB Kak Lah adalah sosok pemimpin wanita yang pada pemerhatian kami, paling tepat untuk diketengahkan sebagai ikon pemerkasaan wanita dalam kabinet kerajaan PN.

Siapa sangka ibu kepada 12 orang anak ini berjaya melakar begitu banyak kejayaan sepanjang memimpin KPWKM walau hanya dalam 17 bulan sahaja.

Ini hanyalah sekadar kemampuan kami menyenaraikan kejayaan beliau sepanjang menjawat jawatan Timbalan Menteri di KPWKM:
Penyediaan Talian Kasih 15999 dan Talian Khas Kaunseling – Talian ini telah diperkenalkan sebagai Talian Prihatin Masyarakat yang memberikan perkhidmatan psikologi dan aduan penderaan, kaunseling, kebajikan dan pelbagai lagi skop aduan yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Program Khidmat Bantu di Rumah – Program Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services) merupakan perkhidmatan sokongan sosial yang disediakan oleh sukarelawan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di rumah. Program ini juga bertujuan menyemarakkan perkembangan kesukarelawan (volunteerism) yang lebih tersusun dan berkesan dalam masyarakat.

Bantuan PRIHATIN bagi warga emas – Program Bantuan PRIHATIN ini telah diberikan kepada 131 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan telah memberi manfaat kepada hampir 44,000 warga emas berdaftar.

Pewujudan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Covid-19 – Garis Panduan ini telah diperkenalkan sebagai rujukan buat semua Pusat Jagaan Warga Emas Kerajaan, Swasta, mahupun NGO sebagai rujukan dan panduan pusat-pusat tersebut dalam menghadapi situasi pandemik ini.

Program Disinfeksi Institusi Warga Emas dan Penyediaan Peralatan di Institusi JKM – Proses sanitasi di institusi warga emas JKM telah dilaksanakan dan penyediaan peralatan serta keperluan menangani penularan pandemik Covid-19 turut dilakukan di institusi JKM.

Saringan Covid-19 di 17 buah institusi kebajikan – Saringan Covid-19 dilaksanakan dengan kerjasama KKM kepada semua penghuni dan kakitangan di 17 institut kebajikan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bertujuan mencegah penularan di institusi warga emas.

Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2020 – Sambutan ini tetap diteruskan dalam suasana pandemik membabitkan forum berkaitan kesediaan warga emas terhadap norma baharu semasa pandemik Covid-19, impak dan penjagaan kesihatan dari segi fizikal, emosi dan mental serta dialog ‘Peranan KPWKM dalam Menghadapi Isu Pandemik Covid-19’.

Bantuan khas TASKA sebanyak RM35 juta di bawah pelan PENJANA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM35 juta kepada hampir 4,000 pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Bantuan sebanyak RM5,000.00 dan RM1,000.00 telah diperuntukkan bagi setiap taska sama ada di mana-mana Institusi mahupun Tempat Kerja Sektor Awam dan juga taska yang beroperasi di rumah di bawah Bantuan Khas Pelan Penjana ini.


Peruntukan RM 5,000 untuk penyediaan TASKA di bangunan kerajaan khususnya hospital di bawah Belanjawan 2021 – Kerajaan telah memberi peruntukan untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan golongan ibu berkerjaya.


Sesungguhnya ruang penulisan ini begitu terhad untuk menyenaraikan semua usaha yang telah YB Kak Lah lakukan. Yang pasti, beliau telah memainkan peranannya dengan sangat cemerlang khususnya melindungi golongan sasar di bawah KPWKM dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Walaupun ini kali pertama beliau bersama dalam kabinet kerajaan, kejayaan seumpama ini semestinya dapat dicapai dengan 18 tahun pengalaman beliau sebagai ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Semoga ketokohan seperti YB Kak Lah ini dapat ditonjolkan oleh pemimpin wanita yang lain juga khususnya yang akan menerajui KPWKM pada masa akan datang.

Tahniah dan terima kasih YB Kak Lah!

Penulisan bersama:
WAN SYAHIRAH
TIA RAZALI
DHIYA’ MUTMAINNAH
DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

Tarikh: 20 Ogos 2021

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo