NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Vaksinasi Lengkap Mampu Kawal Jangkitan Varian Delta



12 JULAI: Penularan wabak COVID-19 daripada varian Delta mampu dikawal sekiranya dua dos vaksin COVID-19 ke atas penerima dapat dilengkapkan dengan segera.

Justeru, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Rosnida Mohd Noh berkata,kerajaan perlu menggandakan usaha meningkatkan kapasiti suntikan dua dos vaksin kerana cara itu dilihat sebagai langkah terbaik

Menurut beliau, ini bagi meningkatkan imuniti penerima vaksin sekali gus sebagai benteng pertahanan badan untuk melawan wabak berkenaan.

“Untuk melandaikan penularan sekarang, ‘ubat’ yang paling berkesan ialah vaksin. Tetapi untuk selamat, sebenarnya tidak cukup satu dos, kita perlu dua (dos) vaksin.

“Bagaimanapun, kita juga tidak boleh mengatakan individu lengkap dua dos tidak akan dijangkiti langsung. Mereka ini masih boleh dijangkiti. Cuma 88 peratus tidak bersimptom dan 96 peratus tidak perlu masuk ke hospital,” katanya kepada media, hari ini.

Dalam pada itu, Rosnida memaklumkan, langkah ini sekali gus akan dapat mengurangkan kapasiti hospital yang kini berada dalam keadaan genting, berikutan jumlah kes yang tinggi terutama di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, pemberian dua dos vaksin ini perlu disegerakan khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi bagi membendung penularan virus selain dapat mengelak pembentukan varian baharu.

“Varian Delta ini dilaporkan 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding virus asal COVID-19 dan keadaan itu amat berbahaya kerana boleh menyebabkan sistem kesihatan awam negara lumpuh, sekiranya tiada langkah komprehensif diambil.

”Varian Delta terlalu cepat merebak. Sistem kesihatan pun ketika ini dalam keadaan darurat. Selain vaksin, usaha lain yang perlu digandakan ialah membuat ‘test and trace’ sebagai langkah awal membendung jangkitan wabak ini.

“Rakyat juga perlu memainkan peranan kerana sifatnya yang cepat merebak itu. Janganlah kita berkumpul dan untuk situasi ini juga, ziarah Aidil Adha perlu ‘dikorbankan’, demi keselamatan semua,” katanya.

http://www.pnbbcportal.com/2021/07/12/varian-delta-mampu-dikawal-dengan-percepatkan-vaksinasi-lengkap/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo