NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Tidak wajar campur aduk entiti awam, swasta

KUALA LUMPUR: Unified Examination Certificate (UEC) yang bersifat entiti swasta sewajarnya tidak boleh sesekali diterima sebagai sebahagian daripada entiti awam atau kerajaan.
Advertisement

Walaupun atas dasar penguasaan bahasa Cina pada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui sijil berkenaan dalam bentuk bahasa pengantar, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Menurutnya, meskipun sijil berkenaan telah diiktiraf kerajaan secara rasmi melalui pewartaan, namun sebagai entiti swasta, ianya hendaklah terus kekal dalam kategori tersebut.

“Pada saya, ianya hendaklah terus wujud dalam kategori itu, dan tidak patut dicampur aduk dengan entiti kerajaan.

“Ini kerana kedua-dua kategori ini tidak sama kerana peranannya berlainan dan perlu terus wujud sedemikian,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Berhubung implikasi pengiktirafan UEC katanya, ia telah membuka jalan untuk tuntutan penerima sijil tersebut juga diterima sebagai kemasukan ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

“Ia telah memulakan satu duluan (precedent) yang akan terus digunakan untuk menuntut banyak perkara lagi nanti.

“Sepatutnya apa-apa yang swasta terus wujud sebagai swasta yang tidak boleh sama sekali diterima sebagai entiti awam,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, UEC yang dikeluarkan SMPC tidak bercanggah dengan prinsip yang ada dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Dari segi Sistem Pendidikan Kebangsaan (SPK), UEC yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996, iaitu pada Peruntukan 16 yang berkenaan dengan ‘Kategori Institusi Pendidikan’, sebagai ‘Institusi Pendidikan Swasta (bagi SMPC) dan entiti swasta (untuk Sijil UEC)’.

Oleh itu, kerajaan telah mengiktiraf UEC sebagai kes istimewa untuk kemasukan ke Instutut Pendidikan Guru (IPG) iaitu ‘Kategori Institusi Kerajaan’, untuk pengkhususan atau pengajaran mata pelajaran bahasa Cina atau Mandarin sahaja.

“Ini kerana mereka yang memiliki sijil UEC boleh ikut menyumbang kepada masyarakat dan negara sebagai entiti swasta.

“Seperti sektor awam dan sektor swasta yang saling melengkapi antara satu sama lain dalam memajukan negara.

“Pemegang sijil UEC dan lain-lain yang merupakan entiti swasta, sesungguhnya melengkapi pemegang sijil SPM dan STPM dan yang seumpamanya sebagai entiti awam, dalam memberi sumbangan dan bakti kepada negara,” katanya.

Dari segi kesannya kepada negara katanya, kedua-duanya sah dari segi perundangan negara, hanya saluran dan entiti berbeza, tetapi saling melengkapi antara satu sama lain dalam membangunkan negara. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/16/uec-tidak-wajar-campur-aduk-entiti-awam-swasta/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo