NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Takbir Raya Haji bermula lepas Subuh 9 Zulhijah

Bertakbir semasa hari-hari raya adalah syiar yang disunatkan kita melaksanakannya. Namun begitu, terdapat perincian dan perbezaan antara takbir pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Berikut kami nyatakan kaifiat dan perbezaan antara keduanya.

Jenis-Jenis Takbir Raya

Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.
Takbir Mursal: Ia juga disebut Takbir Mutlak kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.

Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri sehingga takbiratul ihram solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.

Para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardu lima waktu). Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardu.

Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilfitri melainkan Takbir Mursalyang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri.

Daripada Ali dan Ammar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi hari-hari Tasyrik. (Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih)

Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/559) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili & al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 347).

Waktu Bertakbir

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ada perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
Hari Raya Aidiladha: waktunya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.

Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.

Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Hari Raya Aidilfitri: waktunya Takbir Mursalnya bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, iaitu masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratul ihram solat Hari Raya Aidilfitri.

SUMBER: IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-20: KAIFIAT DAN WAKTU TAKBIR HARI RAYA AIDILADHA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo