NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Permohonan ditolak, perbicaraan kes rasuah Guan Eng diteruskan

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu akan bermula esok di Mahkamah Sesyen di sini.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan Lim untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

"Lazimnya, kes rasuah dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan didengar oleh hakim yang mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman.

"Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-udang yang berbangkit. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi," kata hakim itu.

Selepas mendengar keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo memohon mahkamah membenarkan penangguhan kes di Mahkamah Sesyen sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.


Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu kerana pendakwaan sudah menyusun saksi untuk perbicaraan pada minggu ini.


Beliau berkata, saksi yang akan dipanggil bukan dari Selangor atau Negeri Sembilan sebaliknya dari Pulau Pinang.

Muhammad Jamil kemudian menolak permohonan pembelaan untuk penangguhan kes. Lim yang berpakaian sut hitam hadir pada prosiding hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Lim memfailkan permohonan supaya kesnya yang akan dibicarakan esok di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan antara lain ia membabitkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung pemfailan penyataan pembelaan yang merupakan persoalan penting untuk mendapat perbicaraan adil yang boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai, 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 Sept, 20 hingga 24 Sept dan 13 hingga 17 Dis 2021 sebagai tarikh perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/729832/permohonan-ditolak-bicara-kes-rasuah-guan-eng-mula-esok

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo