Responsive Ad Slot

Olimpik Tokyo 2020: Soniia menang tanpa tanding

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah turut merasai 'kesakitan' lawannya sulungnya di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila Laura Sarosi dari Hungary membuat keputusan menarik diri daripada perlawanan disebabkan kecederaan.

Walaupun belum sempat memasuki gelanggang di Musashino Forest Sport Plaza Tokyo, namun khabar sedih lawannya itu turut dirasai Soniia.

"Saya turut merasai (kesakitan) kamu kerana pernah mengalami kecederaan sama," tulis Soniia dalam satu hantarannya di Instastory. "Saya harap kamu dapat sembuh dengan segera @laurasarosi."

Dalam pada itu, Sarosi dalam laman media sosial berkata: "Malangnya, saya tidak dapat meneruskan perlawanan disebabkan nasihat perubatan. Pada perlawanan sebelumnya, saya mengalami kecederaan 'tendon achilles' yang tidak begitu teruk ketika itu.

"Bagaimanapun selepas perlawanan, saya mengalami kesakitan dan mengalami pendarahan di bahagian tumit. Kakitangan perubatan Jawatankuasa Olimpik Hungary melakukan segala-galanya bagi membantu saya untuk bermain pada hari ini namun keadaan semasa saya tidak mengizinkan begitu dan ia begitu berisiko.

"Apapun, saya perlu berehat dan melakukan pemulihan dalam beberapa minggu ini. Saya berasa sangat kecewa. Terima kasih atas sokongan, ia sangat bermakna buat saya."

Kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini dan Soniia yang juga pemain ranking ke-35 dunia hanya akan berdepan dengan Ratchanok esok untuk penentuan juara Kumpulan N.

Ratchanok pemain yang menghuni ranking keenam dunia akan berdepan Soniia buat kali kelima dengan empat pertemuan sebelum ini memihak kepada bekas juara dunia dari Thailand itu.

Hanya juara bagi setiap kumpulan layak untuk beraksi di pusingan kedua.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo