Responsive Ad Slot

'Lucky Tour nama rasmi syarikat Hala' - Nadir

KUALA LUMPUR: Bayaran AS$10,000 (kira-kira RM42,000) dikenakan badan bukan kerajaan (NGO), Mile of Smiles, terhadap setiap individu yang mahu memasuki Semenanjung Gaza, didakwa disalurkan terus kepada penduduknya khusus bagi tujuan perubatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mendakwa bayaran itu lebih kepada bukti komitmen oleh mana-mana sukarelawan atau NGO yang ingin memasuki Gaza bagi menyalurkan bantuan.

"Apabila bayar kepada Mile of Smiles, ia bukan sekadar untuk tujuan pengangkutan atau mudahkan perjalanan, tetapi untuk menunjukkan komitmen kita dalam membantu bumi Gaza.

"Wang itu bukan untuk Mile of Smiles tetapi digunakan untuk penduduk Palestin khususnya bagi tujuan perubatan," katanya dalam Sesi TownHall CGM yang diadakan secara langsung di Facebook, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Bebas Audit Dalaman, CGM, Mohd Faizal Suleiman dan barisan ahli jawatankuasa CGM.

Muhammad Nadir mengulas kemusykilan netizen selepas pendakwah terkenal, Ebit Lew mendakwa memilih memasuki Gaza dengan menggunakan khidmat syarikat Lucky Tour dengan bayaran jauh lebih rendah iaitu AS$2,500 atau kira-kira RM10,000 saja.

Beliau menegaskan, bumi Gaza bukan tempat pelancongan dan tidak berlaku persaingan daripada pelbagai syarikat yang menawarkan pelbagai tawaran, termasuk bayaran masuk lebih murah.

"Ini bumi konflik dan penuh keberkatan, sangat susah untuk masuk ke Gaza.

"Lucky Tour atau nama tidak rasminya iaitu Hala seperti dikenali orang tempatan adalah sebuah syarikat perniagaan. Mereka sediakan alternatif untuk penduduk Gaza masuk dan keluar dengan cara mudah, ada duit boleh bayar.

"Itu beza Hala dengan Mile of Smiles, jika ada yang nak bayar AS$2,500 untuk manfaat perniagaan syarikat itu, silakan tetapi bagi NGO yang lama berkhidmat untuk Gaza, benda ini bukan sesuatu yang pelik.

"Ada NGO yang boleh buktikan komitmen membantu bumi Gaza, misalnya mereka berjanji menyumbang 10 buah ambulans, mereka tidak perlu bayar pun (AS$10,000) kepada Mile of Smiles," katanya.

Menyentuh persoalan ramai mengenai teguran beliau sebelum ini yang menggesa NGO membeli barangan bantuan di dalam Gaza, katanya, ia bagi membantu ekonomi penduduk yang terjejas teruk dan membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

"Sebenarnya bekalan barangan ubatan biasa, tidak menjadi masalah dan ia boleh didapati di Gaza.

"Tetapi memang ada benda yang tidak dapat di beli di Gaza, contohnya bantuan ventilator dalam musim pandemik, ia terpaksa dibeli dari luar," katanya.

Katanya, terdapat banyak insiden lambakan bantuan termasuk makanan dan ubat-ubatan yang tersadai dan hanya sampai di Gaza berbulan-bulan selepas itu dalam keadaan semuanya didapati rosak dan tidak boleh digunakan.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir turut menyeru NGO lain untuk membentangkan perbelanjaan kewangan masing-masing.

"Saya mewakili CGM mengalu-alukan semua NGO yang lain untuk bentangkan perbelanjaan dan pendapatan masing-masing, sebagaimana inisiatif kami untuk mendapatkan khidmat juruaudit luar.

"Walaupun ia tidak dituntut (dalam peraturan), tetapi selagi ada NGO dibuka, akaun bank NGO tertera di media sosial, kita ada tanggungjawab untuk dedahkan wang berkenaan kerana ia dana awam," katanya.

Beliau turut berkata, pendedahan laporan kewangan CGM secara terbuka itu tidak akan disusuli dengan laporan polis atau tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak.

"Kita tidak akan buat laporan polis atau saman sesiapa. Fokus kami untuk bantu Palestin dan terus berjuang ke arah pembebasan bumi Palestin," katanya.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo