Responsive Ad Slot

Jadi 'runner' mampu langsai hutang PTPTN



Kota Bharu: Habis kapak berganti beliung, begitulah gambaran kerajinan seorang wanita yang gigih menjadi penghantar barangan atau 'runner' untuk mencari rezeki sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.

Siti Rafiah Ab Rashid, 29, yakin dan berani menunggang motosikal Honda RS150R miliknya di jalanan hampir setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempercayainya untuk membeli pelbagai jenis barangan keperluan atau runcit, makanan segera selain menghantar dokumen penting ke pejabat kerajaan.

Dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kejuruteraan Komputer) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengakui pada awalnya dia hanya membantu rakan untuk membeli barangan keperluan tetapi kini menjadi 'kerjaya' yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pulangan lumayan kepadanya.

"Saya mengambil upah serendah RM5 sehingga RM70 bergantung kepada jarak perjalanan pergi balik serta beban barangan, selain kini memiliki pelanggan di Rantau Panjang, Tumpat, Tanah Merah dan Machang.

"Penghantaran biasanya dibuat bermula 9 pagi sehingga 6 petang sahaja kerana bimbang akan keselamatan diri jika mahu diteruskan pada sebelah malam. Tempahan yang banyak juga biasanya diambil bergantung kepada lokasi agar pelanggan menerima barangan pada waktu yang dijanjikan.


"Sepanjang pandemik Covid-19 ini, saya menitik beratkan prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan diri, malah turut meminta pelanggan membuat bayaran secara dalam talian," katanya ketika ditemui selepas membeli barangan tempahan pelanggan di sini, semalam.

Siti Rafiah jadi ‘runner’ sejak 2018. Foto Syaherah Mustafa

Siti Rafiah yang juga anak kedua daripada lima beradik berkata, dia memulakan kerjaya sebagai 'runner' sejak 2018 dan tidak menyangka permintaan pelanggan semakin rancak dua kali ganda selepas pelaksanaan PKP 1.0 sehinggalah ke hari ini.

"Selain daripada diperkenalkan oleh pelanggan tetap kepada orang ramai, saya juga turut mempromosikan khidmat menghantar barang ini melalui Facebook.

"Apa yang membanggakan saya, hasil menjadi 'runner' juga lah saya mampu melangsaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan membantu ibu (Azizah Ag Samat, 64) serta keluarga yang lain.

"Sejujurnya, memang ada sahaja 'suara' yang mempertikaikan kerjaya saya yang banyak menghabiskan masa menunggang motosikal di jalanan, memandangkan saya seorang wanita, namun setiap kali keluar bekerja saya sentiasa berdoa semoga dilindungiNya selain sentiasa berhati-hati," katanya.

Menurut Siti Rafiah, ada sahaja 'runner' dalam kalangan wanita namun tidak seramai golongan lelaki dan baginya, apa sahaja kerja boleh dilakukan, asalkan ia halal serta tidak memudaratkan diri sendiri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo