Ziarah raya, solat jemaah di surau punca kes naik di Kelantan


Kota Bharu: Ziarah raya dan solat jemaah di surau dikenal pasti antara punca kes jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak di Kelantan sehingga melebihi 900 kes sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, pada masa sama, berlaku rentas negeri yang turut menyumbang kepada peningkatan kes.

Katanya, kenaikan kes di Kelantan adalah di luar jangkaan kerana terlalu tinggi selain kewujudan kluster yang banyak.

"Pada masa sama, kematian di Kelantan disebabkan Covid-19 juga meningkat secara mendadak iaitu 37 kematian pada April dan 117 kematian pada Mei lalu.

"Kita menjangkakan kes di Kelantan terus meningkat melebihi 1,000 kes sehari pada Jun ini memandangkan kes sudah berada dalam komuniti. Ini yang kita bimbangkan.

"Inilah kesan disebabkan kegagalan kita (rakyat) mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Malah, yang terbaru kita kesan masih ada penduduk melakukan solat jemaah di surau di Pasir Mas sehingga menyebabkan 37 positif di Kampung Chetok," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Izani berkata, sebanyak 12 lokasi dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan dan dijangka akan disambung sekiranya jumlah kes masih tinggi.

"Sebanyak 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah dibuka dan dijangka bertambah dengan peningkatan kes," katanya.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post