NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mungkin ‘lockdown’ seluruh Kelantan

KOTA BHARU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat iaitu ‘total lockdown’ mungkin akan dilaksanakan di seluruh Kelantan berikutan kes Covid-19 negeri ini yang tidak menunjukkan penurunan sejak dua minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, belum ada perbincangan ke arah itu, namun, kerajaan negeri bersedia menerima apa sahaja kemungkinan dan akur jika pihak kerajaan Persekutuan memutuskan demikian.

“Apa saja arahan daripada kerajaan Persekutuan, kita akan ikut tetapi buat masa ini, belum ada cadangan lagi (untuk total lockdown).

“Kita lihat keadaan sekarang memang amat membimbangkan apabila semua daerah di Kelantan sudah bertukar daripada zon hijau kepada zon merah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor yang menempatkan pesakit dalam kalangan pelajar sekolah.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Zaini Hussin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin dan Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Azman Yusof.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, tidak banyak kemajuan dicatatkan apabila Kelantan mencatatkan kes positif Covid-19 tiga angka dan berada pada kedudukan negeri tiga tertinggi kes pandemik itu setiap hari.

“Tiada pendekatan lain melainkan semua rakyat perlu berdiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sehingga kini, saya lihat pematuhan SOP masih lemah terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar-pasar. Saya mengharapkan kerjasama semua pihak untuk terus mematuhi SOP,” katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo