NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konsep pengasingan kuasa tidak wujud dalam pasukan polis

Gambar sekadar hiasan


Pada 2 Mei 2019, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenankan pelantikan secara kontrak selepas bersara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Pelantikan ini dibuat selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa pelantikan bagi menyandang jawatan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor SPP dan bahawa sebelum bertindak atas syor SPP Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada SPP untuk ditimbangkan semula

Walaupun banyak kritikan yang dilontarkan ke atas beliau sepanjang melaksanakan tugasnya sebagai KPN, termasuklah ketidakpuasan hati banyak pihak ke atas kegagalan beliau membawa balik Jho Low untuk dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia, namun segala-galanya kelihatan berjalan lancar buat Tan Sri Abdul Hamid yang tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berbentuk kontroversi.

Malah, di sebalik jangkaan bahawa kontrak Tan Sri Abdul Hamid selaku KPN akan ditamatkan lebih awal bila berlakunya pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020, ini tidak berlaku, sebaliknya beliau, yang pernah menyatakan ketaatsetian beliau kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dikekalkan, sekali gus membuktikan tiada campur tangan politik wujud dalam pasukan polis.

Begitupun, pada 18 Mac 2021, kurang dua bulan menjelang kontrak beliau berakhir, secara tiba-tiba Tan Sri Abdul Hamid mendedahkan dalam program Sinar Live bersama beliau mengenai wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda yang mendalangi kartel yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka dalam pasukan polis yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Lebih menggemparkan lagi ialah bila Tan Sri Abdul Hamid, dalam sidang media beliau pada 30 April 2021 mendakwa bahawa beliau menentukan siapa daripada pegawai polis yang boleh dan sesuai dilantik ke jawatan-jawatan tertentu kerana beliau “bergelumang setiap hari dengan pasukan polis” tetapi Menteri Dalam Negeri, yang dikatakan sibuk dengan pelbagai jabatan lain, tidak mempunyai masa dan kemampuan untuk berbuat demikian.

Lebih jauh lagi, Tan Sri Abdul Hamid juga menyatakan kekesalan beliau kerana SPP dikatakan tidak berfungsi dengan baik, di mana pejabat SPP pun dikatakan tidak wujud. Begitu juga dengan Pengerusi SPP yang disarankan supaya dilantik bukan dari kalangan Menteri kerana Menteri dikatakan akan membawa unsur-unsur politik berbanding seorang bekas Ketua Hakim dan seorang bekas Hakim.

Masa sama, Tan Sri Abdul Hamid tidak menyatakan bahawa unsur-unsur politik sudah berlaku dalam pasukan polis, tetapi beliau hanya bimbang ini boleh berlaku, di mana, di dalam kata-kata beliau, “yang saya takut ni besok akan berlakulah yang mana PDRM ni akan digunakan untuk nak serve dia punya political interest (kepentingan politik) dia”.

Hanya setelah kontrak beliau tamat, iaitu pada 4 Mei 2021, barulah Tan Sri Abdul Hamid mendakwa Jabatan Cawangan Khas (JCK) Bukit Aman pernah diminta untuk menjalankan operasi yang tiada kena mengena dengan isu berkaitan urusan keselamatan negara tetapi arahan tersebut didakwa enggan dilakukan oleh jabatan berkenaan.

Ekoran dakwaan-dakwaan Tan Sri Abdul Hamid ini maka bersiponganglah suara yang mengutuk kewujudan campur-tangan politik dalam pasukan polis yang disusuli dengan seruan supaya dilakukan pemisahan kuasa antara politik dan pasukan polis khususnya melalui pelantikan Pengerusi SPP bukan dari kalangan Menteri.

Turut menjadi tumpuan adalah tuduhan liar tanpa bukti Tan Sri Abdul Hamid bahawa “dalam politik rasuah berlaku merata-rata tempat”, “mabuk kuasa, sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut orang ini, mengugut”, “sekejap katak lompat sana, sekejap katak berbunyi sana” yang disertai seruan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.

Sebenarnya, tidak sukar untuk difahami motif mengapa kesemua perkara ini dibangkitkan hanya setelah tempoh kontrak Tan Sri Abdul Hamid hampir berakhir, malah sudah ramai yang menyatakan bahawa ia awalnya adalah satu cubaan untuk melanjutkan tempoh kontrak, tetapi bila ini gagal ia bertukar menjadi tidak lebih daripada satu cubaan untuk melepaskan geram semata-mata.

Jika masalah-masalah seperti yang dinyatakan ini memang wujud, ia sepatutnya disuarakan jauh lebih awal lagi, termasuk sewaktu PH masih memerintah, melalui pelbagai saluran yang ada, termasuklah melalui SPP dan pada akhirnya terus kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pihak yang melantik beliau dan yang melantik ahli-ahli SPP itu sendiri, malangnya ini tidak berlaku.

Malah jika diteliti kepada Ceraian 4(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, perlakuan sebegini adalah termasuk di dalam larangan untuk seseorang pegawai awam supaya tidak:

(a) Membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan persendiriannya.

(b) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas awamnya;

(c) Berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa: (i) dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas awamnya hingga menjejaskan kegunaannya sebagai seorang pegawai awam; atau (ii) dia telah menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri;

(d) Berkelakuan dengan sedemikian cara hingga memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.

Sesungguhnya cubaan untuk memenuhi kepentingan persendirian, khususnya untuk melanjutkan tempoh kontrak atau untuk melepaskan geram bila kontrak tidak dilanjutkan, hingga sanggup memburukkan nama atau mencemarkan nama pasukan polis, adalah satu perlakuan yang amat tidak beretika, apa lagi bila ia dilakukan oleh ketua pasukan itu sendiri.

Ia pada masa yang sama menggambarkan kecetekan pengetahuan Tan Sri Abdul Hamid ke atas Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana jelas dinyatakan di dalam Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 bahawa pasukan polis hendaklah di bawah perintah Ketua Polis Negara yang adalah seorang pegawai polis dan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri bagi kawalah dan arahan pasukan. Tiada kekaburan di sini bahawa kawalah dan arahan pasukan polis adalah berada di dalam tangan Menteri Dalam Negeri yang menyalurkannya melalui Ketua Polis Negara.

Begitu juga dengan peruntukan Perkara 140 (1) dan 140 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis” adalah berada di bawah tanggungjawab SPP yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

Hanya pihak yang tidak faham dengan konsep pengasingan kuasa sahaja yang mahu memisahkan pasukan polis, mahupun penjawat awam lain, daripada politik. Yang dimaksudkan dengan konsep pengasingan kuasa itu adalah pemisahan badan-badan perundangan, kehakiman dan eksekutif sahaja tetapi jika badan eksekutif itu sendiri hendak dipisahkan lagi maka akan huru-haralah pentadbiran sesebuah negara.

Sebab itulah bukan setakat SPP sahaja, malah Majlis Angkatan Tentera (MAT) juga, melalui Perkara 137 (1) dan 137 (3) Perlembagaan Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, adalah bertanggungjawab bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku kepada pemerintahan sesebuah kerajaan jika SPP dan MAT ini dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah, sudah pastilah kesukaran malah kekalutan besar akan berlaku dalam perlaksanaan dasar-dasar kerajaan itu, malah tidak mustahil untuk kerajaan yang dipilih secara demokratik itu boleh ditumbangkan pula.

Sebab itulah di negara jiran Singapura sekalipun Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, boleh menyatakan dengan tegas bahawa perkhidmatan awam adalah tidak bebas daripada kerajaan yang dipilih (not independent of the elected government) malah ia mesti berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih pada sesuatu waktu (must serve the elected government of the day).

Sebab itulah Manifesto PH dalam PRU 15 sekalipun, melalui Janji 20-nya bertajuk “Menjadikan ATM dan pasukan PDRM sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani” langsung tidak memperkatakan mengenai hasrat untuk menjadikan Pengerusi SPP dan Pengerusi MAT ini dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah.

Lalu mengapa pula kini dihebohkan bahawa Pengerusi SPP (tetapi tidak Pengerusi MAT) ini perlu dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo