Responsive Ad Slot

Kerajaan GRS stabil, tiada perubahan pentadbiran kerajaan negeri





PUTATAN: "Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih stabil,"

Demikian reaksi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung khabar angin yang mendakwa berlakunya perubahan kuasa pentadbiran negeri Sabah.

Menurutnya, GRS kekal stabil dalam mengemudi mandat yang telah diberikan rakyat selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) lalu.

"Untuk makluman, kerajaan GRS begitu stabil. Kita mempunyai satu keadaan politik yang stabil kita telah diberi mandat oleh rakyat memerintah.

"Jadi fokus kita adalah untuk membangunkan negeri Sabah," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Meruntum pada Isnin.

Menurut beliau, isu terbabit sengaja disensasikan dalam cubaan merosakkan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS yang memerintah Sabah.

"Saya tidaklah menumpukan perhatian kepada isu-isu seumpama ini kerana hari ini pun kita baca Setiausaha Agung PBS telah pun membuat penafian mengenai perkara ini jadi ianya sesuatu yang hanya dimainkan oleh pihak tertentu," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau lagi, rakyat Sabah diminta tidak terpengaruh dengan sebarang propaganda yang dimainkan pihak tertentu.

"Kita sekarang memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat jadi saya berharap rakyat tidak akan terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan ini,"katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo