NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan Media PMO - Keputusan Sidang Khas MKN 21 Mei 2021


KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 pada petang ini yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan COVID-19. 

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19. 

Selain itu, Sidang Khas juga membincangkan status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021. Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang. 

Mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam Sidang Khas pada hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial. 

Sidang Khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19. 

Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021.


PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA 21 MEI 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo