NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO perlu bersihkan parti menjelang PRU15 - Prof Shamsul Amri


KUALA LUMPUR: UMNO dinasihatkan supaya bersikap rendah diri dan mengutamakan keinginan rakyat berbanding kepentingan peribadi pemimpin parti menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), parti itu bagaimanapun masih mempunyai kelebihan kerana ahlinya tidak melompat parti seperti beberapa anggota parti lain.

“Kalau UMNO nak menjadi dominan, ia terpaksa membersihkan dirinya dahulu iaitu dengan tidak mengangkat sesiapa daripada ‘Kluster Mahkamah’ untuk menjadi bakal Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” jelas beliau.

Justeru, beliau mencadangkan dua nama untuk memimpin parti itu - Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ketika ini, Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO harus mengambil alih tampuk pimpinan kalau benar-benar nak mendapat sokongan rakyat.
“Rakyat mesti lihat mulai sekarang, bahawa UMNO menunjukkan keinginan untuk mendapat sokongan rakyat - bukan memegahkan kedudukan pemimpin dan betapa berkuasanya mereka,” ujar Prof Shamsul.

Pasca PAU 2020 | Persiapan UMNO menjelang PRU-15

Tambahnya, imej baharu bukan hanya perlu ditampilkan dalam proses pemilihan calon Perdana Menteri, malah juga dalam cara UMNO berkempen supaya rakyat lebih yakin untuk menyokong parti itu tanpa ragu-ragu.

Sehubungan itu, Prof Shamsul turut menyarankan agar UMNO kekal bersama Perikatan Nasional supaya dapat menjamin kestabilan kerajaan ketika ini.

“Kalau mereka keluar sekarang, orang ramai berpendapat bahawa situasi itu akan menimbulkan kesukaran.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi orang UMNO. Menteri Kesihatan orang UMNO. Apakah tidak menimbulkan kesan terhadap pentadbiran berkait dengan COVID-19?” tegas beliau.

Semalam, menteri-menteri UMNO dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional pada bila-bila masa.

Antara yang dikenal pasti hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar Negeri).|

https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-perlu-bersihkan-parti-menjelang-pru15-prof-shamsul-amri-290895

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo