TNB lancar rangkaian gentian optik jalur lebar Allo

 

5 APRIL: Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara rasminya melancarkan rangkaian gentian optik jalur lebar menerusi perkhidmatan yang dinamakan Allo hari ini.

Rangkaian perkhidmatan itu dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh TNB, Allo Technology Sdn Bhd menerusi pelaksanaan projek rintis ‘Jasin’ di Melaka yang bermula pada Januari 2019.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, penglibatan serius TNB dalam menyediakan kemudahan internet jalur lebar adalah bagi mendukung dan menjayakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Penglibatan serius TNB menjayakan JENDELA ini juga adalah manifestasi peranannya dalam memikul amanah Penggerak Kemajuan Negara. Sepanjang 71 tahun berlalu, TNB telah dan terus menerangi kehidupan hampir seluruh rakyat Malaysia.

“Kini ia mengukuhkan peranan itu dengan bersama-sama menangani cabaran Ekonomi Digital serta gelombang teknologi baharu iaitu Revolusi Perindustrian Keempat 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini.

TNB katanya, mempunyai talian fiber optik sepanjang 18,000 kilometer (km) disamping capaian infrastruktur meluas kepada para pelanggan seperti tiang-tiang elektrik TNB yang merentasi Semenanjung.

“Bertahun lamanya TNB membangunkan infrastruktur tersebut sebagai rangkaian grid yang panjangnya lebih 23,000km bagi menghantar bekalan elektrik ke seluruh Semenanjung. Teknologi fiber optik digunakan dalam reka bentuk dan operasi grid ini bagi memastikan bekalan berdaya harap,” katanya.

Bagi negeri Melaka, menurutnya, sebanyak 17,000 pengguna kediaman menerima liputan rangkaian gentian optik jalur lebar iaitu di kawasan Alor Gajah, Ayer Keroh, Malim Jaya dan beberapa kawasan lain di Jasin. Melaka merupakan negeri pertama yang siap bagi inisiatif ini.

Jelas Mahdzir, pembabitan TNB dalam perkhidmatan rangkaian jalur lebar bukanlah untuk bersaing dengan penyedia perkhidmatan sedia ada sebaliknya sebagai pelengkap kepada rangkaian sedia ada khususnya di kawasan yang masih belum mempunyai akses jalur lebar.

Menurutnya, selepas kejayaan membangunkan infrastruktur gentian optik jalur lebar di Melaka, Allo akan meluaskan capaian perkhidmatannya di Perak, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan mensasarkan 150,000 kediaman pada pertengahan tahun 2021.

“Penyediaan infrastuktur ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di pinggiran bandar dan sekitarnya. Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini,” katanya.

Allo sebagai penyedia akses terbuka dapat memperluaskan potensi capaian internet jalur lebar dengan kelajuan sehingga 1Gbps, yang kini disediakan oleh pembekal runcit internet (RSP) seperti Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

Allo juga sedang giat dalam proses perbincangan untuk bekerjasama dengan beberapa pembekal runcit yang lain seperti TM, Freshtel dan Redtone.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post