NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ladang solar terbesar Asia Tenggara di Kelantan



PASIR MAS - Ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara sedang dibangunkan di kawasan Tasik Danau Tok Uban di sini melibatkan pembinaan 247,830 panel.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usahasama kerajaan negeri menerusi Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn Bhd dengan Cypark Resources Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas 40 hektar.

"Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn Bhd merupakan syarikat induk milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)," katanya selepas merasmikan Pra Pelancaran Projek Solar Terapung dan Pengisytiharan Zon Idustri Akuakultur (ZIA) Tasik Danau Tok Uban di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Cypark Resources Berhad, Tan Sri Razali Ismail dan Pengarah Kumpulan Eksekutif Cypark Resources Berhad, Datuk Daud Ahmad.

Menurutnya, projek bernilai RM500 juta itu mampu menjana 140,000 Megawatt jam (MWh) kuasa sepanjang tahun dan mampu menampung penggunaan tenaga elektrik kepada 46,480 isi rumah.

Mohd Amar berkata, projek tersebut tidak akan menjejaskan ekosistem malah menjimatkan kira-kira 96,000 tan metrik karbon dioksida setiap tahun.

Tambah Mohd Amar, projek berkenaan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (PIPM) yang memfokuskan kepada pelaksanaan agenda pembangunan sosio ekonomi negeri secara inklusif membabitkan pihak yang berkepentingan.

"Kelantan cukup bertuah kerana syarikat berkenaan memilih negeri ini sebagai lokasi pelaburan walaupun mereka sudah mempunyai tempat lain untuk berbuat demikian.

"Kita turut mengemukakan cadangan kepada syarikat berkenaan supaya menjadikan lokasi ini sebagai pusat pembelajaran untuk pelajar sekolah melihat penggunaan teknologi hijau menerusi aktiviti lawatan," katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/131489/EDISI/Ladang-solar-terbesar-Asia-Tenggara-di-Kelantan



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo