Hadi tuntut Zahid tunai janji terima PPBM dalam Muafakat

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menuntut PPBM tetap dijadikan ahli komponen Muafakat Nasional, di sebalik penegasan Umno mahu menamatkan kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga menekankan bahawa Perikatan Nasional yang ditunjangi PPBM adalah sebuah gagasan berdaftar, sekali gus membayangkan kerjasama semua kumpulan Melayu-Islam harus diasaskan menerusi gabungan itu.

Pada sidang media di Marang, Hadi merujuk kepada perjanjian yang dimeterai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengenai penglibatan PPBM dalam Muafakat Nasional.

“Kita sudah bersetuju (dan) sudah tandatangani. Saya tandatangan, Zahid tandatangan, undang Muhyiddin (ke) dalam MN. Itu perlu dilaksanakan. Saya boleh tunjuk surat,” katanya.

Ditanya adakah kerjasama dengan Umno diteruskan, susulan kenyataannya pagi tadi yang mengajak semua kumpulan Melayu-Islam menyertai PN, Hadi menegaskan apa sahaja nama kerjasama itu “tak penting”.

“Yang penting kerjasama. Sekarang ini PN sudah didaftarkan,” katanya.

Diminta wartawan menjelaskan status hubungan PAS dengan Umno, Hadi hanya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan bersama Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, kelmarin.

Kenyataan itu menggariskan komitmen dua parti berkenaan untuk mengukuhkan kerjasama menghadapi PRU15, termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa pusat bagi menangani soal pengagihan kerusi.

Kenyataan dua parti itu setelah Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul menamatkan kerjasama dengan PPBM, dan menarik keluar daripada kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Didesak wartawan untuk memberi pendirian jelas berhubung kerjasama dengan Umno, Hadi berkata: “Kita sudah kerjasama. Orang yang tak kerjasama biarlah masyarakat tengok siapa yang kerjasama dan siapa yang tidak bekerjasama.”

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan tidak perlu mana-mana pihak mempertikaikan keikhlasan PAS dalam soal kerjasama.

“Kita sudah buat sebaik-baiknya. Kita ada banyak pengalaman. Kita pernah kerjasama dengan semua. Bacalah sejarah siapa kerjasama dengan kita, siapa yang tak nak kerjasama, sama ada sudah mati ataupun berkecai, terkulai tak perlu saya sebut nama,” katanya.

Ahad lalu, semasa merasmikan PAU, Zahid dan pemimpin Umno lain dilihat menggesa PAS untuk memilih sama ada mahu bersama Umno atau PPBM sebagai sekutunya pada PRU nanti.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/02/hadi-tuntut-zahid-tunai-janji-terima-ppbm-dalam-muafakat/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post