Pekebun kecil sawit untung besar sepanjang PKP – Khairuddin



PUTRAJAYA – Sektor komoditi negara mendapat limpahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah memasuki tempoh setahun hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, sawit telah merekodkan harga yang paling tinggi dalam sejarahdi seluruh dunia iaitu sebanyak RM4,247.50 setiap tan pada 15 Mac tahun lalu.

Lonjakan harga itu disebabkan oleh pandemik dan juga kekurangan bekalan sangat ketara serta kekurangan pekerja asing yang sebelum ini memeriahkan industri perladangan.

”Ini semua adalah faktor penyebab kepada kenaikan harga yang sangat tinggi dan memberi untung yang besar kepada para pekebun kecil sehinggakan pendapatan mereka naik daripada RM300 setiap tan, sekarang menjangkau RM900 setiap tan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) PPLH Komuniti antara Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA), dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di kementeriannya, hari ini.

Sektor getah juga melonjak besar sehingga 300 peratus melibatkan sarung tangan getah perubatan, menjadikan Malaysia mendapat pendapatan yang besar daripada sektor ini.

Eksport getah pada tahun lalu menyumbang RM48 bilion.

Tambahnya, harga komoditi lain seperti lada hitam, dan koko juga didapati meningkat pada tahun lalu.

”Kementerian itu banyak menerima manfaat atas pelaksanaan PKP pada tahun lalu. Apa yang berlaku selama PKP setahun dan juga pandemik Covid-19 adalah ‘blessing in disguise’ bagi pihak kementerian,” ujarnya.

Kerajaan telah mengumumkan PKP pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Khairuddin berkata, keutamaan kerajaan pada masa itu adalah mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. – MalaysiaGazettea

https://malaysiagazette.com/2021/03/18/pekebun-kecil-sawit-untung-besar-sepanjang-pkp-khairuddin
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post