Responsive Ad Slot

Muslim Care Malaysia dan TUDM bantu rakyat Tawau, Semporna



KUALA LUMPUR: Muslim Care Malaysia (MCM) bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam misi kemanusiaan Rakyat Malaysia Bantu Tawau & Semporna bagi membantu golongan asnaf di Sabah.

Bantuan kebajikan itu akan disampaikan kepada 1,000 asnaf di dua daerah di Timur Sabah iaitu Tawau dan beberapa pulau di Semporna dalam program empat hari bermula Jumaat ini.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, misi kali ini mendapat jumlah sumbangan paling tinggi bernilai RM100,000 sepanjang 10 tahun persatuan itu menjalankan misi sama di negeri tersebut.

“Saya berbangga kerana MCM sekali lagi berpeluang bekerjasama dengan TUDM dalam menjalankan misi ini.

“Kali pertama MCM bekerjasama dengan TUDM ketika menaiki helikopter Nuri untuk menyempurnakan misi kemanusiaan akibat tragedi tsunami di Aceh, Indonesia, awal 2005.

“MCM dan rakan sekutu amat berharap segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta dipermudahkan Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.



KHIDMAT pemeriksaan kesihatan untuk penduduk Pulau Mabul, Sabah ketika progam Muslim Care di pulau itu pada 2015.

Zulkifli berkata, tujuan utama misi kemanusiaan itu dijalankan bagi menyantuni rakyat di daerah itu agar terus menikmati kehidupan lebih baik dan selesa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan secara berfasa.

Antara lain, dia berkata, program itu sekali gus melebarkan kolaborasi dan mengeratkan hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan lain di samping membantu menyampaikan dakwah kepada masyarakat yang menetap di kawasan pedalaman serta pulau.

“Pada masa sama, MCM ingin mencari dan melahirkan sukarelawan yang ingin bersama kami untuk program-program yang bakal dijalankan pada masa akan datang.

“Sukarelawan yang terbabit dalam misi kebajikan kali ini terdiri daripada individu dengan pelbagai latar belakang serta pengalaman termasuk golongan profesional, doktor perubatan dan ahli perniagaan,” katanya.

MCM bergerak sebagai organisasi dengan fokus utama iaitu Dakwah, Perubatan, Kebajikan dan Pendidikan sejak 2006.

Untuk rekod, MCM mempunyai rangkaian di seluruh dunia iaitu di Turki, United Kingdom, Poland, Austria, Palestin, Syria, Yaman, Bangladesh, Nigeria, Chad, Myanmar, Mesir, Indonesia dan Kemboja.

Dalam pada itu, program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin, KLCC menyasarkan beberapa lokasi pedalaman di Tawau iaitu Indrasabah, Pengkalan Arang, Tanjung Hantu, Sungai Mas 2, Muara Kalumpang, Tanjung Nagus, Sungai Buaya, dan Batu 3.

Di Semporna pula termasuk Pulau Mabul, Kampung Hidayat, Pulau Tiga, Pulau Bodgaya dan Pulau Selakan.

Kata Zulkifli, setiap asnaf di semua lokasi sasaran bakal menerima barangan bernilai RM100 yang terdiri daripada beras 10 kilogram (kg), gula 1kg, minyak masak 1kg, teh, kopi, tepung 1kg, mi kuning, susu pekat, telur ayam dan telekung.

Mereka yang ingin menyumbangkan dana boleh disalurkan ke akaun bank MCM di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) dan CIMB Bank (8604171675) manakala slip pemindahan wang boleh dihantar ke hotline MCM di talian 01150050035.

“Masih ada kesempatan untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama MCM bagi menyempurnakan msi ini dengan menghulurkan sumbangan wang tunai ke akaun MCM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo