NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lima langkah bantu pulih segera sektor pelancongan

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan COVID-19 setahun lalu, pelancongan menjadi antara industri paling terjejas.

Pergerakan orang ramai terbatas dan ketiadaan pelancong menyebabkan penggerak industri terpaksa mengecilkan saiz operasi, bahkan ada yang terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu menanggung kerugian.

Ia menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan, selain menanggung hutang institusi kewangan.

Justeru, kerajaan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan kesan pelaksanaan PKP, sekali gus menggerakkan kembali industri pelancongan.

Terbaru, kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) memfokuskan bantuan memulihkan semula industri pelancongan.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan sektor pelancongan mencatat kerugian hampir RM100 bilion sehingga penghujung 2020, sekali gus berdepan risiko jika tiada langkah susulan memulihkan industri sama ada jangka pendek atau panjang.


Selain bantuan sudah diberikan kerajaan itu, beberapa tindakan perlu diambil untuk memulihkan industri pelancongan.

Sekiranya kita masih menunggu pandemik pulih, ia akan menyukarkan industri pelancongan kerana pemvaksinan hampir 80 peratus rakyat untuk mendapatkan imuniti kelompok mengambil masa sehingga pertengahan tahun depan.

• Pertama, membenarkan pelancong luar masuk ke negara ini untuk melancong. Namun, mereka perlu mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP), termasuk sudah divaksin melalui pemeriksaan pasport vaksin atau ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sekiranya belum.

• Kedua, bilangan pelancong antarabangsa perlu dikawal dengan kemasukan menggunakan mod pengangkutan udara sahaja. MOTAC perlu mencadangkan had maksimum pelancong antarabangsa.

Had maksimum berdasarkan kemampuan pihak berkuasa untuk menguruskan bilangan pelancong sekiranya berlaku jangkitan COVID-19. Jumlah terlalu ramai akan meningkatkan risiko ketidakpatuhan terhadap SOP.

Tindakan mengehadkan jumlah kemasukan pelancong bertujuan memudahkan pemantauan semua agensi dari aspek bilangan hingga pergerakan keluar masuk negara. Pada masa sama, peraturan visa perlu dikuatkuasakan kepada semua pelancong.

• Ketiga, pelancong diwajibkan membeli pakej dan menggunakan perkhidmatan agensi serta pemandu pelancong berdaftar dengan MOTAC.

Agensi pelancongan perlu bertanggungjawab melaporkan segera kepada pusat kesihatan kerajaan jika pelancong mempunyai gejala, selain perlu menguruskan perjalanan mengambil serta menghantar pulang ke lapangan terbang dan melaporkan pergerakan kepada kerajaan.

• Keempat, agensi pelancongan dicadang memperkenalkan pakej setempat dan tidak membawa pelancong ke destinasi lain, terutama membabitkan pergerakan rentas negeri.

• Kelima, pengusaha produk pelancongan perlu memastikan premis sentiasa bersih. Setiap lokasi dilawati perlu dibersihkan dan disanitasi, selain memastikan pekerja dalam keadaan sihat dan mematuhi SOP.

Saranan ini bertujuan memastikan pengusaha dan penggiat industri pelancongan dapat menarik nafas lega, sekali gus memulihkan industri itu.

Pelancong dapat menikmati kepuasan sepanjang percutian dengan jaminan kesihatan, manakala industri memperoleh pendapatan secara optimum dan kerajaan mendapat hasil melalui cukai.

Dr Johan Afendi Ibrahim

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo