NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kebenaran rentas negeri ikut keputusan KKM

KUALA LUMPUR, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada boleh merentas negeri atau pun tidak bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan nasihat KKM.

Ini kerana, katanya, KKM memandang serius kebenaran rentas negeri kerana ia salah satu penyumbang kepada kluster COVID-19.

“KKM menjangkakan kes akan menurun Mei ini. Tetapi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, mungkin kes akan turun lebih cepat. Sama-sama kita berdoa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini.

Sementara itu, mengulas berkenaan kebenaran membuka bazar Ramadan bulan depan, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyesuaikan SOP mengikut keadaan di tapak bazar.

“Sepatutnya negeri atau daerah perlu mengikut apa yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan terutamanya yang berkaitan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana itu undang-undang yang perlu dipatuhi di bawah Akta 342.

“Tetapi terdapat kes-kes tertentu yang mana majlis daerah perlu sesuaikan dengan keadaan di tempat mereka.

“Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak yang berbuka lebih awal, maka boleh sesuaikan dengan keadaan di sana,” katanya.

https://ismaweb.net/2021/03/18/kebenaran-rentas-negeri-ikut-keputusan-kkm/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo