Responsive Ad Slot

Dakwaan UMNO sebagai ‘abang besar’ sekadar persepsi politik

KUBANG PASU: Dakwaan mengatakan UMNO cuba bertindak sebagai 'big brother' atau 'abang besar' dalam hubungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas hanyalah satu bentuk persepsi politik semata-mata.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pihaknya percaya ketika ini semua pihak sedang melaksanakan yang terbaik bagi menjamin kerjasama dengan semua parti yang membentuk kerajaan sedia ada.

"Bagi Bersatu, hanya melalui kerjasama erat dan padu antara ketiga-tiga parti yang dapat membantu kita meneruskan agenda mentadbir negara.

"Kita perlu wujudkan suasana politik yang stabil dengan segala usaha tertumpu kepada pembangunan negara dari segala sudut termasuk ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melaksanakan lawatan kerja sulung ke pejabat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, parti itu tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya UMNO merasakan mereka sebagai 'abang besar' berhubung jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, kesefahaman erat antara parti yang wujud dalam kerajaan pada masa kini akan mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kewujudan dua kumpulan di dalam UMNO yang kini cenderung untuk bekerjasama dan tidak bekerjasama dengan Bersatu.

"Itu lebih baik tanya pada UMNO," katanya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/dakwaan-umno-sebagai-abang-besar-sekadar-persepsi-politik/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo