NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen PAS mahu cabar tuntutan NGO berhubung darurat di mahkamah




KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen dan dua senator PAS memfailkan permohonan untuk mencelah dan mencabar tuntutan dikemukakan tujuh badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Bersih 2.0 yang mahukan deklarasi berhubung peranan Parlimen dan badan kehakiman ketika darurat.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari serta Khiril Nizam Khirudin dan Mohd Apandi Mohamad yang memfailkan permohonan mereka dua hari lalu berkata, sebagai Ahli Parlimen mereka mempunyai hak mengikut Perlembagaan untuk mencelah kerana perkara itu melibatkan isu kepentingan awam.

Pada 11 Jan, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos, atau sehingga bilangan kes harian Covid-19 menurun, untuk mengekang penularan wabak itu.

Fadhli dalam afidavit sokongan berkata, jika nasihat perdana menteri kepada Agong dicabar di mahkamah, ini akan mengakibatkan kerajaan tidak dapat mentadbir negara dengan berkesan.

Katanya, Agong bertindak sebagai semak dan imbang antara eksekutif, penggubal serta kehakiman, dan tiada pihak patut dibenarkan mencabar pengisytiharan itu.

Dalam dokumen yang dilihat FMT, beliau berkata jika tindakan NGO berkenaan tidak dicabar, ia mungkin membuka “floodgate” (lambakan) cabaran perundangan melibatkan nasihat eksekutif kepada Agong, seterusnya menjadi contoh duluan yang tidak baik.

NGO berkenaan pada 2 Feb lalu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon beberapa deklarasi berhubung darurat.

Semalam, mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman untuk merujuk kes itu terus ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam mereka Edmund Bon memaklumkan hakim Ahmad Kamal Md Shahid ketika pengurusan kes hari ini bahawa anak guamnya telah memfailkan beberapa persoalan perundangan untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dari PKR juga akan memfailkan permohonan mencelah, menerusi peguam mereka A Surendra Ananth sebelum 23 Mac.

Sementara itu, Surendra ketika dihubungi berkata, anak guamnya akan menyokong tuntutan NGO berkenaan.

Ahmad Kamal menetapkan pengurusan kes pada 1 April ini.

Peguam Persekutuan Krishna Priya Venugopal mewakili Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan, manakala Ahmad Amzar Ahmad Azlan hadir bagi pihak tiga ahli PAS terbabit.

Andrew Khoo Chin Hock hadir sebagai peguam pemerhati Badan Peguam.

Selain Bersih, NGO lain adalah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Center for Independent Journalist (CIJ), Aliran, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) serta Save Rivers.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/18/ahli-pas-mahu-cabar-tuntutan-ngo-berhubung-darurat-di-mahkamah/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo