NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada bidaan, pengedaran spektrum 5G hanya menerusi SPV - SKMM


KUALA LUMPUR: Pengedaran spektrum teknologi generasi kelima (5G) hanya akan dilaksanakan menerusi Syarikat Bertujuan Khas (SPV) yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata SPV yang akan dilancarkan tidak lama lagi akan menjadi pemilik tunggal teknologi itu dan akan diberikan lesen untuk menyediakan spektrum jalur secara borong.

“Kami di peringkat pengawalseliaan akan memastikan bahawa ia adalah akses terbuka, akses yang setara dan harga yang kompetitif yang ditentukan dengan tepat oleh kos akhir kepada pengguna.

“Harga borongnya akan telus. SPV kerajaan tidak akan memasuki ruang pemasaran runcit, mereka hanya akan berurusan dengan pengedaran borong.

“Ia bermakna mereka akan melayan semua pemegang lesen yang menyediakan perkhidmatan kepada pengguna,´ katanya pada satu taklimat media maya berjudul “MyDigital Future – Accelerating 5G” pada Isnin.

Sebelum ini, SKMM berkata ia akan mengedarkan spektrum 5G menerusi pembidaan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata SKMM juga telah mengenal pasti lokasi yang diberikan keutamaan untuk liputan teknologi 5G pada suku keempat tahun ini.

Katanya, antara lokasi yang menjadi keutamaan ialah setiap ibu negeri dan kawasan ekonomi serta mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Kami akan mempunyai satu senarai lokasi yang diberikan keutamaan. Salah satu perkara utama adalah setiap ibu negeri akan menjadi kawasan keutamaan.

“Kawasan yang berekonomi tinggi, kepadatan penduduk tinggi dan juga kawasan luar bandar utama akan kami sediakan 5G.

“Kami akan mengumumkan butiran itu kemudian tetapi itulah pelan kami sekarang, untuk kawasan yang diberikan keutamaan. Kemudian, kami akan membimbing SPV (Syarikat Bertujuan Khas) untuk melancarkannya di kawasan di mana prosesnya lebih cepat,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo