NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN perlu muafakat ambil alih dari PH - PAS




KUALA LUMPUR: PAS Selangor sedia memberi komitmen penuh bagi mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, susulan pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Selangor yang diumumkan semalam.

Namun, Pesuruhjayanya Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan, bagi mewujudkan satu permuafakatan yang padu, pihaknya mahu semua keputusan berkaitan lantikan di peringkat negeri dilakukan dengan persetujuan semua parti komponen.

"PAS Negeri Selangor mengharapkan agar semua keputusan berkaitan lantikan parti di peringkat Negeri dan kemudiannya nanti di peringkat Parlimen dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu.

“Setiap jawatan di peringkat negeri, selain Pengerusi dan Naib-naib Pengerusi PN Negeri, sewajarnya diputuskan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Perikatan Nasional Selangor dengan mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh masing-masing parti di bawah PN Negeri.

“Ini bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai keupayaan mempengaruhi akar umbi khasnya rakyat Negeri Selangor,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Yunus berkata, dengan semangat musyawarah, hormat-menghormati dan tolak-ansur antara parti-parti, ia dapat menjamin hubungan kerjasama politik yang mantap dan berkesan, khasnya dalam usaha menawan Selangor yang kini dikuasai Pakatan Harapan.

"Pas Selangor bersedia memberikan penglibatan dan kerjasama penuh bagi menjayakan agenda PN di negeri ini dan mengekalkan kerajaan PN dengan semangat perpaduan ummah," tambahnya.

Semalam, Pengerusi BPN PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembentukan struktur organisasinya untuk menjana kekuatan baharu dan memperkukuhkan keyakinan rakyat.
Menurutnya, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti komponennya untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri berkenaan.

Mohamed Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembentukan BPN PN Selangor telah dibincang bersama Ahmad Yunus dan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari pada 5 Feb lalu.

Struktur organisasi BPN PN Selangor turut menyaksikan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik Pengarah Pilihan Raya, selain ADUN Gombak Setia Muhammad Hilman Idham (Bersatu) sebagai Setiausaha dan Shukor Mustafa (Bersatu) sebagai Ketua Penerangan.

Bagaimanapun, pemerhati menjangkakan akan ada lantikan tambahan susulan pengumuman kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke dalam gabungan parti itu oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Awal bulan lalu, Setiausaha Agungnya Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan kerajaan PN.

Katanya, PAS tidak mahu terlibat, mahu pun dilibatkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan, sekali gus mengundang ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/pn-perlu-muafakat-padu-rebut-kembali-selangor-daripada-ph-pas-282621

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo