NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen akan bersidang masa darurat?

Kuala Lumpur, 24 Februari, 2021 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat YB Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.

Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.

Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat YAB Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.

Dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli- Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

Berhubung dengan perkembangan terkini wabak COVID-19, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi Kerajaan yang berkait, di atas usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo