NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Liwat Perbuatan Jenayah Di Bawah Undang-Undang Persekutuan

Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini perlu dilihat secara holistik dan selari dengan prinsip Perlembagaan. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan umat Islam berpandangan keputusan itu telah mengurangkan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah. Malah ada kebimbangan jika keputusan itu akhirnya mengakibatkan Mahkamah Syariah kehilangan bidangkuasa dalam jenayah.

Takrifan kesalahan di bawah bidangkuasa Negeri telah diberikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kes Sulaiman Takrib. Kesalahan terhadap ajaran Islam seperti zina, minum arak, qazaf dan lain-lain yang bersifat personal law atau undang-undang peribadi orang Islam tidak tersentuh. Malah Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak menerima tafsiran jenayah (crimes) dan kesalahan (offences) dengan sedikit pindaan, iaitu jika suatu kesalahan itu tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan; bukan hanya suatu kesalahan itu belum dijadikan perbuatan jenayah oleh undang-undang Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga menerima keluasan maksud "precepts of Islam di bawah Senarai II, selagi perkara itu tidak jatuh di bawah Senarai Persekutuan.

Secara umumnya Keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak menyempitkan tafsiran Islam. Jika kedudukan Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan dilihat melalui jurisprudens watan, pastinya kedudukan Islam sebagai "law of the land" serta bidang kuasa Islam di bawah Persekutuan dan Negeri dapat diharmonikan dengan baik. Inilah prinsip yang terkandung dalam Perkara 3(1) dan Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan yang perlu dibaca bersama-sama dengan Jadual 9 untuk menentukan bidangkuasa Islam di bawah Persekutuan dan Negeri.

Keputusan Mahkamah mengekalkan Kesalahan liwat di bawah Undang-undang Persekutuan menunjukkan kerangka undang-undang Perlembagaan menjadikan amalan LGBT satu perbuatan jenayah di sisi undang-undang negara, bukan hanya satu kesalahan di sisi agama Islam dan bagi muslim.

Keputusan tersebut perlu dilihat tidak mengurangkan kedudukan agama Islam kerana prinsip undang-undang Islam tidak hanya terpakai di Mahkamah Syariah semata-mata.

Apa yang mustahak, liwat sebagai satu perbuatan jenayah bagi orang Islam dan bukan Islam adalah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang menentukan nilai moral yang terpakai sama ke atas bukan Islam.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu menjadikan kesalahan liwat sebagai peruntukan yang tidak boleh dibatalkan di bawah Kanun Keseksaan kerana kedudukannya sebagai satu kesalahan jenayah merupakan perkara yang menyentuh prinsip moral di bawah Perkara 11(5) dan untuk memelihara kebebasan orang Islam untuk mengamalkan ajaran Islam di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu perlu ditegaskan bahawa undang-undang liwat sudah wujud sebelum Hari Merdeka serta sebelum wujudnya Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Jadual 2 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, semua bidangkuasa jenayah dan sivil adalah terletak dalam bidangkuasa Negeri-negeri Melayu masing-masing. British hanya mentadbir Negeri-negeri Selat. Mahkamah-mahkamah Negeri wujud seperti Mahkamah Yang Maha Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Balai yang membicarakan semua kes termasuk orang bukan Islam di Negeri-negeri, manakala Mahkamah Syariah dan Mahkamah Qadi diwujudkan kemudian hanya untuk membicarakan undang-undang peribadi orang Islam.

Dari sudut sejarah perundangan, Undang-Undang liwat itu ialah sebahagian undang-undang sedia ada di bawah Perkara 162(1), yang masih berkuatkuasa pada hari ini tetapi telah berlaku modifikasi melalui seksyen 377. Modifikasi itu ialah peletakan di bawah Senarai Persekutuan dan bentuk hukumannya di bawah Kanun Keseksaan.

Adalah diharapkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, perayu akan diadili di Mahkamah Sivil dan semua pihak terlibat perlu menguatkuasakannya sebagai satu kesalahan jenayah bagi orang Islam dan bukan Islam.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo